Isnin, 3 Mac 2014

Melayu Melayu Terbuka...!


Tulisan saya dalam Sinar Harian 24.2.14, bertajuk “Apa sudah jadi dengan Melayu” mendapat perhatian daripada berbagai pihak termasuk seorang wartawan veteran yang saya hormati. Kenyataan saya jelas, tidak salah masuk gereja, kerana saya sendiri ada pergi ke sana (tokong) selepas memeluk Islam atas tujuan dakwah.

Ironinya, isu utama yang ingin saya sampaikan, iaitu paderi yang berceramah di gereja yang menanam kebencian antara kaum tidak pula dibahaskan. Isu gereja dan babi yang disensasikan. Tak pe lah.

Jika orang lain bebas memberi pandangan, apakah saya tidak boleh? Belajar bersikap terbuka. Saya tidak takut meskipun saya masih berada dalam sistem. Kenapa kita hanya berani selepas keluar daripada sistem? Kenapa dahulu ketika berada dalam sistem, kita tidak berani mengkritik kerajaan, malah menjadi pembodek tegar? Adakah ini yang Perdana Menteri mahu?

Ketika dalam kerajaan, menikus. Bila keluar daripada sistem, seolah-olah menjadi jeneral yang berani. Ini bukan budaya Melayu yang saya fahami,  kerjanya tidak lain hanya tahu membodek, yes boss.

Saya sendiri, telah dikenakan bermacam-macam tindakan disebabkan kelantangan ini, adakah itu bermakna saya perlu berhenti bersuara? Tidak sama sekali. Amar makruf nahi mungkar, adalah kewajipan yang mesti ditunaikan. Berkata benar walaupun di hadapan pemerintah yang zalim.

Saya hanya pertikaikan kenapa dahulu orang Melayu jarang melakukan perkara pelik-pelik? Kenapa hari ini begitu berleluasa? Saya tidak hanya tujukan kepada seseorang. Kenyataan saya bersifat umum. Termasuk mereka yang pergi ke Batu Caves. Ada yang melabelkan saya sebagai pencacai UMNO. Malangnya, saya bukannya ahli UMNO. Saya tidak dapat apa-apa dari UMNO. Apapun label yang diberikan, ada aku kisah!

Persoalan masuk ke gereja (kuil/tokong), belajar di sana, dan apa jua tujuan masuk ke rumah penyembahan ini, tidak menjadi masalah, selagi kita pandai membawa diri. Namun, ia perlu dilakukan secara berhati-hati. Tidak moleklah masuk tanpa tujuan. Apatah lagi pergi berkempen ketika pilihan raya. Nampak sangat kita terlalu terdesak.

Realiti politik perkauman di Malaysia, kita ada wakil-wakil kaum, untuk setiap bangsa dan agama. Bukankah lebih bersopan jika wakil-wakil ini memasuki kawasan tersebut. Biarkan mereka berkempen di sana. Kenapa kita perlu pergi dan menari-nari pula? Bukan apa, takut jadi fitnah.

Jika ada pilihan, sudah tentu saya cuba mengelak untuk ke rumah penyembahan bukan Islam atau pergi suka-suka. Saya tidak mahu bersuhabat. 

Namun, jika tidak ada pilihan, tidak mengapalah. Tetapi jangan ‘over’ sehingga lebih garpu dari sudu. Jangan sampai hilang maruah diri dan jati diri.

Sama juga isu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Dewasa ini ke mana pun saya pergi, jarang sekali melihat atau membaca signage atau nama taman perumahan atau kompleks membeli-belah mempunyai nama-nama kebangsaan. Rata-rata menggunakan bahasa asing, mall sana mall sini, mont sanamont sini, park sana park sini, ainsdale, dan lain-lain. Lekeh sangatkah bahasa kita? Sehinggakan pemaju perumahan Melayu sendiri sudah tidak yakin dengan nama-nama kebangsaan?

Apakah produk nama-nama kebangsaan ini tidak glamour sehingga tidak laku untuk dijual? Apakah kita mahu menjadi Singapura dan Pulau Pinang? Sekurang-kurang Singapura masih kekalkan lagu kebangsaan dalam bahasa Melayu, Majulah Singapura. Begitu jugacommand tentera mereka.

Persoalan, di manakah peranan majlis bandaraya atau majlis perbandaran? Adakah kita menerima bulat-bulat submission yang dilakukan oleh pihak pemaju. Tidak ada jati diri negarakah? Atau pegawai yang menjaga terlalu jahil kerana terpesona dengan gula-gula rasuah yang diberikan?

Setiap negara ada identiti. Pergilah ke Thailand, Jepun dan China. Lihat papan tanda, nama jalan, nama taman dan apa jua nama, semua ada kaitan dengan jati diri bangsa dan negara mereka. Kenapa negara kita tidak sebegitu? Nama-nama asing semakin berleluasa.

Saya amat bimbang dengan tuduhan barat yang disangkal oleh Syed Hussein Alatas dalam bukunya Motis Pribumi Malas. Barat beranggapan faktor iklim dan lingkungan tropika yang dianggap sebagai punca kemalasan orang Melayu. Iklim sedemikian, jangkitan penyakit serta kemewahan para pemimpin mereka telah menyebabkan rakyat menderita sehingga menjadikan Melayu beku tanpa cita-cita.

Adakah mereka yang berada di majlis perbandaran sudah sedemikian rupanya? Syed Hussein menyangkal dengan berkata, pribumi atau Melayu sebenarnya bekerja keras untuk hidup. Mereka rajin dan mahir dalam bidang masing-masing. Sebagai bangsa yang bermaruah, mereka tidak bersedia menjadi alat pengeluaran kaum kapitalis yang mahu melayani sebagai hamba abdi.

Saya mahu Melayu buktikan kata-kata Syed Hussein. Melayu perlu keluar dari lingkungan kemalasan. Melayu mesti sedar dan kuat jati diri serta menjadi berani sama ada berada dalam sistem atau tidak. Jangan hanya berani selepas pencen atau selepas tidak ada kuasa. Jika tidak, kerjanya membodek sahaja.

Jika tidak Melayu tidak akan ke mana-mana. Melayu akan terus diperalatkan untuk kepentingan lain. Orang lain sudah kaya raya. Melayu masih lagi merangkak-rangkak. Kenapa? Fikirlah sendiri.

4 comments:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan