Serpihan Berhampiran Pulau Tho Chu Bukan Milik MH370 - DCA
Diterbitkan: Ahad, 9 Mac 2014 11:17 PM
- Oleh: THE STAR
SEPANG: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menafikan bahawa serpihan yang ditemui berhampiran Pulau Tho Chu adalah daripada bangkai pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata pihak berkuasa mengesahkan bahawa objek yang terapung di laut kira-kira 100 kilometer di selatan pulau itu tidak sepadan dengan pesawat yang hilang sejak awal pagi Sabtu lalu.
Objek berkenaan ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat Singapura.
"Bagaimanapun buat masa ini kita masih mengenal pasti jika tompokan minyak yang ditemui sepadan dengan pesawat B777-200 berkenaan dengan pihak yang berkaitan," katanya.
Sementara itu Bernama melaporkan bahawa Azharuddin berkata, operasi mencari kini menggembleng bantuan antarabangsa dari Vietnam, China, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, Thailand, Australia dan Filipina membabitkan sebanyak 34 pesawat dan 40 kapal.
Beliau berkata DCA mengetuai operasi mencari dan menyelamat serta proses siasatan.
Setakat hari ini, pencarian dari udara, bermula mulai pukul 7 pagi dan berakhir pada 7 malam manakala gerakan mencari di laut diteruskan.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata operasi mencari dan menyelamat tidak membabitkan kapal selam dari negara-negara yang membantu.
"Mereka tidak menghantar kapal selam, sesetengah daripada mereka menghantar kapal penyelamat termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia. Kedua-duanya berbeza sama sekali," kata beliau.
Zulkifeli berkata dua buah kapal peronda maritim dari Australia akan tiba tengah malam ini, dan pagi esok.
Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima tawaran daripada rakan sejawatan beliau dari Australia, Tony Abbott, untuk membantu dalam gerakan mencari pesawat itu.
Persidangan media berikut oleh pihak berkuasa akan diadakan pukul 12 tengah hari esok.
Penerbangan MH370 MAS yang membawa 227 penumpang termasuk dua bayi, dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 pagi pada Sabtu.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi.
Lu Fikir La Sendiri!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan