Tulisan Dr Redhuan Tee Abdullah
BELUM pun PRK Kajang bermula, bermacam-macam tuntutan dan desakan dikemukakan kepada Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri oleh parti-parti politik dan NGO ultra kiasu Cina.
Mereka tidak segan-segan menuntut, kerajaan mesti mengiktiraf UEC dan tambah lagi Sekolah Persendirian Cina. Undi hanya akan diberikan kepada parti politik yang dapat penuhi hak Cina.
Persoalan saya, hak bangsa lain pula bagaimana? Ingatan kepada pihak berkuasa, jangan sampai tiada telur kerana kemaruk undi.
Cukup! tidak perlu tambah masalah pendidikan negara ini yang sudah semakin berserabut.
Lebih berani lagi, kerajaan ultra kiasu Pulau Pinang, mempertikaikan Putrajaya kerana tidak melayan permintaan mereka yang telah meluluskan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil (SMJK) di Bagan Dalam, Pulau Pinang.
Kerajaan ultra kiasu menyalahkan Putrajaya kerana tidak memenuhi permintaan mereka. Tidak cukupkah dengan lambakan SJKC/T yang sedia ada.
Sehinggakan kadang kala kita lihat murid dan gurunya terlalu sedikit bilangannya. Tetapi mereka tetap mahu sekolah ini beroperasi. Tidak cukupkah kita pisahkan mereka sejak kecil? Perlukah kita pisahkan lagi mereka sehingga dewasa.
Pengerusi Dong Zong dalam temu bual dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berkata, peratus kelulusan keputusan kertas Bahasa Melayu (BM) UPSR SJKC sama dengan Sekolah Kebangsaan (SK).
Nasihat saya, berikan data. Jangan bercakap kosong. Tidakkah beliau tahu kertas BM di SJKC jauh lebih mudah berbanding SK. Lebih menyedihkan lagi beliau berkata, BM adalah bahasa orang Melayu yang pertama, kedua bagi orang Cina. Jika pelajar Cina tidak berjaya dalam kertas ini ada justifikasinya.
Bukankah BM adalah bahasa pertama dan utama atau bahasa negara untuk semua warganegara Malaysia? Di manakah kiblat kita sebenarnya?
Saya mohon Kementerian Pendidikan paparkan statistik pencapaian BM kalangan pelajar Cina di SJKC. Jangan biarkan mereka memanipulasikan angka.
Buatlah kajian di kelas peralihan. Berapa ramai bilangannya. Lebih serius lagi, kebanyakan mereka langsung tidak boleh menguasai BM mudah. Sedangkan Bangladesh dan Nepalis yang tinggal di sini buat seketika, boleh menguasai BM. Kenapa kita yang lahir dan tinggal di sini beratus tahun sukar sekali untuk menguasai BM?
Berhubung dengan pengiktirafan UEC, katanya, seluruh dunia iktiraf UEC, kenapa begitu sukar bagi kerajaan. Apakah beliau tidak sedar bahawa kerajaan mensyaratkan supaya Sekolah Persendirian Cina mematuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan. Kenapa begitu berdegil?
Tidakkah beliau sedar dengan UEC, pelajar-pelajar ini masih berpeluang untuk memasuki universiti swasta? Apa lagi yang mereka mahu?
Baru-baru ini kerajaan membuat keputusan, bagi meramaikan orang Cina dalam menyertai perkhidmatan polis, maka cukup dengan syarat sekadar lulus BM sahaja, tanpa kredit. Apakah kerajaan masih tidak bertolak ansur dan memenuhi kehendak orang Cina?
Sudahlah kita ada universiti yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Apakah selepas ini universiti ini akan menerima pelajar daripada sekolah perkauman juga. Perkara ini perlu difikirkan secara serius.
Ultra kiasu sengaja melakukan perkara ini untuk menguji dan memberi tekanan kepada Putrajaya. Selepas ini mereka ada alasan untuk ditudingkan kepada Putrajaya. Tengok! Putrajaya yang tidak meluluskan, bukan mereka. Liciknya strategi mereka.
Saya amat mengharapkan Kerajaan Pusat tidak akan tunduk kepada tekanan desperado sebegini. Biar pun kalah dalam PRK Kajang. Pembangunan negara bangsa mesti diutamakan daripada agenda bangsa dan politik.
Kita tidak mahu keputusan yoyo. Sekejap ya, sekejap tidak. Tidak ada negara dalam dunia bertindak sebegini melainkan kita. Apakah kita mahu menambah masalah yang sedia menjadi masalah atau menyelesaikan masalah tersebut?
Saya amat yakin, dalam kempen-kempen PRK Dun Kajang, kita akan menjanjikan bulan dan bintang. Ingatlah wahai pemimpin, sekali keputusan dan hak terlepas, terlalu sukar untuk kembali semula.
Ini strategi licik ultra kiasu, tekan dan minta semaksimum mungkin. Mereka tahu kerajaan akan terkejut. Untuk memberi semua, mustahil. Maka, kerajaan akan berikan sedikit. Sedikit itu adalah merupakan kejayaan besar kepada mereka.
Apabila berdebat dengan mereka, saya selalu bertanya, berikan contoh negara-negara yang ada dalam dunia ini, yang mempraktikkan sistem sebegini. Jawapannya, tidak ada jawapan.
Justeru, kenapa perlu beria-ia mendesak dan menggugat. Ultra kiasu akan menyambung, inilah uniknya Malaysia. Malaysia boleh!
Lu Fikir La Sendiri!!!
Lu Fikir La Sendiri!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan