Jumaat, 21 Mac 2014

MH 370 ~ Pencarian Bersambung Pagi Ini…!


Walaupun semalam hampa, namun pencarian diteruskan pagi ini…

PERTH: Pasukan mencari dan menyelamat Australia yang meninjau kawasan sekitar 2,500km dari Perth di mana dua objek besar dikesan terapung oleh sebuah satelit Amerika telah menamatkan operasi mereka pada malam Khamis tanpa menemui sebarang petunjuk atau cebisan pesawat MH370 yang masih hilang.
Awan tebal dan hujan telah menjejaskan penglihatan dan usaha mencari.
Portal berita BBC melaporkan yang pasukan tersebut akan kembali menjalankan operasi mencari dan menyelamat pada pagi Jumaat.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (Amsa) memgumumkan sejurus sebelum tengah malam Khamis yang empat buah pesawat peninjau dari Australia, Amerika Syarikat dan New Zealand telah meninjau kawasan seluas 23,000 kilometer persegi dan mereka masih gagal menemui apa jua bukti atau cebisan yang boleh dikaitkan dengan MH370.
Menurut kenyataan Amsa lagi, objek sepertimana yang dirakamkan oleh satelit itu dan menjadi tumpuan ramai sejak ia disiarkan di seluruh dunia mungkin telah hanyut beribu kilometer dari tempat ia dirakamkan.
Dua objek yang dirakamkan oleh satelit itu sebesar 24 meter panjang dan satu lagi lima meter panjang.
Ketika dirakam dua objek tersebut terapung kurang lebih 2,500 kilometer dari Perth, Australia.
Difahamkan

PETALING JAYA: Ekoran laporan terkini Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia bahawa dua objek telah dikesan di selatan Lautan Hindi yang satu daripadanya dianggarkan bersaiz 24 meter, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan.

Wartawan ABC News, David Wright secara eksklusif dibenarkan mengikuti penerbangan pertama di kawasan carian dan beliau menyifatkan zon dengan keluasan 6,598 kilometer persegi itu lebih dekat dengan Antartika berbanding Australia.

"Anak kapal yang menjalankan usaha carian berteknologi tinggi ini menjelajah ke 4,100 batu persegi laut terbuka yang lebih hampir dengan Antartika berbanding Australia..." David menulis di Twitter mengenai pengalamannya.

"Malangnya perjalanan 9 jam kami di atas kapal P8, termasuk 3 jam pencarian intensif TIDAK menemui sebarang bukti serpihan."

David yang kecewa dengan pencarian itu tidak dapat membuat banyak laporan, secara kesimpulannya.

"Tiada apa-apa hasil hari ini - kecuali kapal pengangkut dan 2 kumpulan ikan lumba-lumba. Mereka akan keluar semula esok. Bersemangat untuk memberikan jawapan kepada keluarga yang terlibat."

Pencarian pesawat hilang memasuki hari ke-13 dengan usaha diarahkan semula ke lokasi yang terletak lebih kurang 2,500 kilometer di barat daya Perth selepas Australia mengumumkan bahawa dua objek telah dikesan.

Walaupun mendapat perkembangan terbaharu itu, pegawai penyiasat menekankan bahawa adalah sukar untuk menemui objek itu di Lautan Hindi yang luas dan ia mungkin tidak berkaitan dengan MH370.

Sementara itu dalam pertemuan dengan pihak keluarga malam tadi

SEPANG: Malaysia Airlines (MAS) bersedia membawa keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 ke Australia jika dua objek yang dikesan imej satelit di selatan Lautan Hindi disahkan sebagai milik pesawat yang hilang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata kepentingan keluarga 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu sentiasa menjadi keutamaan syarikat penerbangan nasional itu.

"Kami memang menjaga waris (para penumpang pesawat ini) dan seandainya pesawat dikesan berada berdekatan Australia, sudah pasti kami akan menguruskan usaha membawa waris ke sana," kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam taklimat media harian mengenai perkembangan terkini berhubung operasi mencari dan menyelamat pesawat itu di sini, yang turut dihadiri Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman. 

Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata di Canberra pada Khamis bahawa imej satelit menunjukkan dua objek yang boleh dikaitkan dengan pesawat Malaysia itu yang hilang pada 8 Mac.

Ahmad Jauhari berkata MAS komited untuk memberikan maklumat yang tepat dan terkini, sehingga dua hingga tiga kali sehari, kepada semua keluarga penumpang.

Sementara itu, Hishammuddin memberi jaminan bahawa semua keluarga adalah yang pertama akan dimaklumkan sekiranya ada pengesahan mengenai imej-imej satelit atau sebarang perkembangan terkini dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat itu, yang masuk hari ke-13 hari ini.

"Saya rasa berita tergempar yang boleh dipercayai berhubung imej satelit itu hari ini pasti berlegar dalam pemikiran keluarga.

"Saya rasa itulah yang akan menjadi perkara pertama yang akan kami sampaikan kepada keluarga apabila maklumat itu diterima," katanya sambil mezahirkan rasa simpatinya yang mendalam kepada keluarga berkenaan.

Beliau menyatakan bukan mudah untuk mengendalikan keluarga-keluarga yang dalam keadaan amat sedih, dan pihak berkuasa negara kini mempelajari cara menangani situasi itu daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Perancis (BEA).

"Ini sangat sukar (untuk berurusan dengan pihak keluarga). Saya telah berbincang dengan pasukan Perancis yang perlu berurusan dengan keluarga para penumpang Air France 447 selama dua tahun selepas nahas itu (pada 2009)," kata beliau.

Pasukan BEA tiba pada Isnin untuk membantu pasukan penyiasatan antarabangsa yang diketuai Malaysia mencari pesawat itu, dengan tumpuan carian di dasar laut.

Pada 2009, pasukan BEA terlibat dalam usaha mengesan Air France 447 yang terhempas dan mengorbankan kesemua 228 orang yang menaiki pesawat itu, dan kotak hitam pesawat itu hanya ditemui dua tahun selepas tragedi itu.

Hishammuddin berkata penyampaian maklumat yang tepat dan terkini kepada keluarga berkenaan juga menjadi keutamaan mereka, hingga mendorong kerajaan menghantar pasukan peringkat tinggi ke Beijing, China petang tadi.

"Wakil-wakil kerajaan Malaysia sudah pun menemui keluarga berkenaan yang diketuai utusan khas Perdana Menteri ke China (Tan Sri Ong Ka Ting). 

"Pegawai Kedutaan China juga membantu dengan mengetuai taklimat untuk keluarga-keluarga dari China yang berada di Kuala Lumpur," kata beliau.

Pesawat 777-200ER itu, yang menuju ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Pesawat itu dicari di Laut China Selatan namun kawasan pencarian diperluaskan dengan merangkumi sebahagian besar kawasan barat Malaysia, termasuk Lautan Hindi, apabila pesawat itu dipercayai melencong daripada laluan asal penerbangannya setelah seseorang secara sengaja mematikan sistem komunikasi pesawat, dan pesawat itu terbang untuk beberapa jam selepas itu.

Pencarian kini ditumpukan ke dua koridor - koridor utara yang merangkumi Kazakhstan, Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan yang merangkumi Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi.
Lu Fikir La Sendiri!!!

2 ulasan:

  1. Dok payah bawa la bawa ahli keluarga kat mana-mana kalau jumpa mayat baru bawa untuk pengecaman. Keluarga Cina pun hantar balik negara mereka biar duduk dekat sanak saudara. Bawa sini pun bukan boleh buat apa apa. Atau bagi open tiket kapal terbang pergi balik Cina dari Malaysia serta bagi open tiket pergi balik Cina Malaysia serta sikit wang belanja

    BalasPadam
  2. Nanti kalau ada keluarga warga Cina ini mati susah pula. Keselamatan mereka perlu dijaga dan hendaklah dipantau sapa yg dayang jumpa. Tak dihasut oleh puak yg tak suka kerajaaan.

    BalasPadam