Isnin, 14 Januari 2013

Mufti Kelantan Ajar Cara Main Billiard...MESTI BACA.!

Yang ada akal budi dan iman yang kuat pasti setuju dengan pandangan Shahibul Samahah Dato Mufti Kelantan ni...yang kuat iman pun bukan diukur di sarban dan jubah...malah jawatan sebagai MB pun bukan jaminan beriman...huhuhu

Mufti Kelantan, DATUK MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD dengan menegaskan kalimah Allah eksklusif untuk orang Islam.

Dalam pertemuan hampir sejam dengan wartawan Mingguan Malaysia, YULPISMAN ASLI dan ASMA HANIM MAHMOOD serta jurugambar, IRWAN MAJID di pejabatnya di Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Khamis lalu, beliau mempersoalkan kenapa perkara yang sudah disepakati sejak sekian lama kembali dibangkitkan oleh pihak berkenaan.
Kenapa pula mereka nak guna, dalam edisi bahasa Melayu pula. Tentulah telunjuk lurus kelingking berkait. Kita membuka ruang untuk mereka memfitnah Allah," ujarnya.

Beliau turut memberi peringatan keras bahawa sekiranya tuntutan itu dibenarkan, ini bermaksud umat Islam telah membuka ruang kepada bukan Islam untuk memfitnah Allah yang dalam iktikad umat Islam adalah Esa sedangkan tuhan dalam agama lain bersifat ‘trinity’, termasuk Kristian yang menganggap Al-Masih itu anak tuhan.

"Kalau dakyah mereka sudah merebak masuk Kristianlah, apa nak buat lagi sebab kita sudah buka," katanya.

MINGGUAN: Boleh Datuk ulas tuntutan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Melayu yang dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng?

MOHAMAD SHUKRI: Dalam hal ini, perkara yang paling asas adalah mencari titik pertemuan, titik persamaan. Kalau nak dialog adab dia jangan cari titik perbezaan. Apa-apa yang kita sudah sepakati maka kita sepakati dan terima sahaja. Tetapi, kalau kita nak toleransi, menjadi orang hebat, yang berbeza itu kita bertolak ansur. Yang ada titik persamaan kita sepakati, kalau ada yang berbeza kita tasamuh atau toleransi.

Saya melihat ada beberapa perkara yang telah kita sepakati iaitu institusi raja-raja. Institusi raja-raja adalah institusi yang kita hormati. Keduanya, kita sudah sepakati bahawa Ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan Rakyat, Dewan Negara akan kata dewan yang mulia. Siapa pun jadi Ahli Yang Berhormat dia akan mengatakan dalam dewan yang mulia ini. Kalau di peringkat negeri ada Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Ertinya ini adalah institusi-institusi yang ada dalam negara kita yang sudah disepakati, semua menghormati kepada institusi raja, Parlimen, DUN. Dan kita tengok sejarah DUN, yang duduk dalam DUN ialah wakil-wakil rakyat. Apa makna wakil rakyat? Maknanya yang dipilih oleh rakyat mewakili rakyat. Tugas wakil rakyat ini ialah membuat dasar. Tugas pegawai-pegawai ialah melaksanakan dasar. Ini sudah disepakati. Jadi, kalau ini sudah kita sepakati sepatutnya kita tidak akan bercanggah pendapat.

Merujuk kepada kalimah Allah, kalimah Allah bagi negeri Kelantan sudah ada Enakmennya iaitu Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1981. Enakmen ini untuk mengawal, menyekat pengembangan iktikad kepercayaan agama bukan Islam dalam kalangan orang yang menganut agama Islam. 

Kalau kita tengok kepada enakmen itu diluluskan pada 19 Disember 1981, maknanya sudah jelas bahawa enakmen ini digubal sedemikian rupa oleh wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, mewakili suara rakyat. Ertinya sekarang, tugas kita ialah mendidik rakyat menghormati apa yang diputuskan oleh DUN dan Parlimen. Enakmen ini adalah satu preventif (sekatan) dan ini menepati kaedah syarak, syarak kata "kawal". 

Dalam perubatan pun kata mengawal itu lebih baik daripada berubat. Jadi enakmen sudah diluluskan, siapa luluskan, Ahli-Ahli DUN pada 1981. Ahli-ahli DUN ini adalah mewakili rakyat, jadi jangan kita didik rakyat menentang enakmen yang diluluskan oleh rakyat. Kalau rakyat mewakilkan kepada wakil rakyat buat undang-undang tiba-tiba kita didik pula rakyat menentang enakmen itu, maknanya rakyat menentang kehendak rakyat. Itu sudah nampak kecelaruannya.

Sama juga dengan fatwa. Fatwa ini adanya satu institusi yang sudah disepakati, satu institusi yang dimuliakan dan dihormati oleh semua. Pasal apa saya kata begitu kerana fatwa ini terkandung dalam enakmen Majlis Agama Islam. Enakmen Majlis Agama Islam ini diluluskan oleh wakil-wakil rakyat. Sebab itu, kita perlu mendidik rakyat untuk menghormati fatwa sebab fatwa terkandung dalam enakmen Majlis Agama Islam Kelantan. 

Enakmen ini boleh dijelmakan sesudah diluluskan oleh DUN. Apabila DUN luluskan enakmen, dalam enakmen itulah mewujudkan adanya institusi mufti, timbalan mufti dan diberi gaji. Jadi, fatwa dikeluarkan itu peringkat pelaksanaan kepada dasar yang dibuat di DUN, kalau kita tak hormat fatwa maknanya kita tak hormat kepada DUN. 

Sama ada Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1981 yang telah memuatkan di dalamnya Seksyen 9 Bahagian 1. Perkataan-perkataan dimuat di dalam itu dibutirkan perkataan-perkataan yang tidak boleh dikaitkan dengan agama bukan Islam. Maknanya orang bukan Islam tak boleh nak gunakan perkataan Allah, firman Allah, ulama, hadis, ibadah, Kaabah, kadi, Ilahi, wahyu, Rasul, Nabi, mubaligh, syariah, kiblat, haji, mufti, imam, dakwah, solat, khalifah, wali, fatwa, iman dan sheikh. 

Seksyen 9 Bahagian 2 iaitu perbahasaan (bahasa) yang tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam untuk dikaitkan dengan agama bukan Islam, Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, walillahilham, Allahu Akbar, insya-Allah, astaghfirullahal'azim, tabarakallah, masya-Allah, Lahaulawala'quwataillahbillahil'azim, ini perkataan-perkataan yang tidak boleh diperbahasakan.

Enakmen ini sudah diluluskan pada Disember 1981. Saya melihat ini perkara yang sudah kita sepakati, kenapa lagi kita ungkit-ungkitkan. Kalau kita rasa perkara-perkara ini tidak relevan, tidak secocok pada zaman ini, maka rakyat boleh buat tuntutan pada wakil-wakil rakyat bawa ke DUN dan pinda ataupun ubah suai ataupun mansuh enakmen ini. 

Tapi, kalau enakmen ini masih berkuat kuasa maka kita kena patuh. Bila enakmen ini tidak dimansuhkan maknanya ia berkuatkuasalah. Kalau kita nak guna juga, kita kata bolehlah diguna kalimah Allah ini, bermakna kita nak bukalah kawalan, sekatan ini kita tak mahu sekat orang bukan Islam, dia nak melancarkan dakyah dia, nak melancarkan kempen kepada orang Islam silakanlah, itu kalau kita beri peluang. 

Kalau kita kata boleh pakailah kalimah Allah maknanya kita dah bersetuju orang lain boleh kembangkan agama mereka kepada orang Islam, sedangkan enakmen inilah yang menghalang orang lain daripada mengembangkan agama mereka kepada orang Islam.

Itu yang saya maksudkan kita perlu hormat kepada enakmen ini. Sama juga dengan fatwa, peribadi mufti tak penting, tetapi institusi fatwa itu. Kalau kita dah lulus adanya enakmen melalui wakil-wakil rakyat kita yang meluluskan enakmen ini tiba-tiba kita pertikaikan fatwa, tak hormat pada fatwa, maka kita tahulah apa kedudukan kita sebenarnya. 

Sebab itu saya menasihatkan, rakyat hormatlah kepada institusi seperti kesultanan raja-raja, DUN, Parlimen yang semua Yang Berhormat mengatakan dewan yang mulia, tiba-tiba apa yang diputuskan dalam dewan itu kita pertikaikan, kita tidak hormat. Maka ini satu keganjilan atau kejanggalan.

Adakah negeri-negeri lain juga mempunyai enakmen bagi mengawal pengembangan agama lain dalam kalangan orang Islam?

MUFTI: Setakat yang saya tahu Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak tidak ada. Tapi di negeri-negeri lain semua sudah ada.

Adakah menjadi keperluan bagi negeri yang tidak ada supaya mempunyai enakmen tersebut?

MUFTI: Memanglah sepatutnya negeri-negeri yang belum ada, diadakan untuk mengawal, tetapi kalau rasa untuk keterbukaan, tak mahu lagi, bebaslah siapa nak seru siapa, siapa nak kempen siapa dibolehkan, itu terserah kepada rakyat.

Adakah enakmen di negeri lain itu sama seperti enakmen di Kelantan?

MUFTI: Saya fikir lebih kurang sama sebab penggubalan biasanya kita selaras. Di peringkat negeri kita telah selaraskan di peringkat Pusat terlebih dahulu.

Berkenaan perlunya kita patuh kepada fatwa, tetapi kebelakangan ini apa yang dinyatakan oleh mufti banyak juga pihak yang mempertikaikannya dan bercanggah pendapat?

MUFTI: Sebab itu saya tadi letak ia sebagai asas bahawa kalau kita tengok kepada peribadi mufti, barangkali kita pandang lekehlah dia, tapi kita kena tengok kepada institusi itu. Institusi itu diwujudkan oleh rakyat, bukan sengaja diada-adakan tapi dikehendaki oleh rakyat. Bagaimana kesimpulan ia dikehendaki oleh rakyat, sebab ia diluluskan oleh DUN dan dimasukkan ke dalam enakmen. Jadi, kalau rakyat dah mula rasa tawar, pinda sahaja institusi mufti tak perlu ada. Mufti pun tak perlu ada, boleh sahaja, rakyat yang bersuara.

Kalau institusi sedemikian tidak ada, ada apa kesannya?

MUFTI: Tak apa, kita kan terbuka. Kita kata perlu kepada telus, terserah.

Mengambil kira enakmen ini, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam sebenarnya telah lama ditimbulkan?

MUFTI: Kalau kita tengok dalam enakmen ini, seseorang telah melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi atau menghasut seorang lain yang beragama Islam. Jadi kita tanya kenapa Bible nak gunakan kalimah Allah dalam edisi Melayu, sedangkan edisi Inggeris dan lain-lain masih menggunakan God. 

God itu kalau diterjemah hanya tuhan bukan Allah dan Allah kita tak boleh terjemahkan dengan God. Kalau orang putih kata 'Oh my God' itu bukan maknanya Allah. Kalimah Allah ini dalam bahasa Arab pun tak boleh diterjemahkan. Dia lafaz yang tersendiri, tidak boleh diterjemahkan. Jadi, kalau kita benarkan kalimah Allah diguna pakai oleh orang di luar Islam, sebenarnya, (baca surah Al-Ikhlas), dua kali diulang kalimah Allah, Allahu Ahad Allahu Samad. Ini ada signifikannya bahawa Dia itu tunggal, satu tak mungkin ada dua. 

Kalimah Allah pertama untuk penegasan keesaan Allah dan diulangi Allahu Samad menunjukkan bahawa Allah tempat kita bergantung. Tetapi kalau kita benarkan, Yahudi dia kata Uzair ialah anak Allah, kalau Kristian pula Al-Masih ialah anak Allah. Ini satu fitnah kepada Allah. Secara tidak langsung kita membuka ruang untuk mereka memfitnah Allah. Mereka pakai Allah yang telah mereka fitnahkan sebagai ada anak. 

Sedangkan Allah pada kita Ahad (Esa). Ini fitnah besar kepada kesucian Allah. Sedangkan anggapan mereka terhadap Allah, walaupun mereka kata Allah itu tuhan mereka tetapi Allah yang ada anak. Jadi adakah kita nak izinkan Allah kita difitnahkan? Dalam Bible carilah mana pun tidak ada perkataan Allah, jadi kenapa pula mereka nak guna dalam edisi bahasa Melayu. Tentulah telunjuk lurus kelingking berkait. Kita nak biarkah?

Mungkinkah ada agenda di sebalik tuntutan tersebut?

MUFTI: Orang dan parti-parti politik ini dia bercakap apa pun, macam main billiard. Dia pukul bola hijau dia sebenarnya nak masukkan bola merah. Itu biasalah orang parti politik. Mana-mana parti politik pun dia ada agenda dia, kita tak boleh lari. Tapi tugas saya di bahagian fatwa iaitu menyatakan hukum.

Yang mengundang persoalan dalam kalangan masyarakat ialah, apabila tuntutan itu disokong oleh pemimpin politik Melayu yang dianggap ulama?

MUFTI: Seperti saya katakan tadi, masing-masing ada agenda, ada strategi, jadi kita tak nak campur agenda mereka, kita tak nak campur strategi mereka, tetapi kita hanya bercakap dalam skop kawalan dan sekatan. 

Saya nak nyatakan bahawa mufti ialah pegawai pelaksana kepada dasar yang dibuat, jadi kalau mufti keluarkan fatwa itu adalah laksana daripada dasar yang dibuat, bukan berasingan. Sekarang saya nampak macam institusi mufti ini tak kena-mengena dengan dasar, padahal wujudnya institusi mufti ini hasil daripada dasar dan dasar yang memutuskan melalui enakmen.

Bersambung di Utusan Malaysia esok

LU FIKIR LA SENDIRI!!!

2 ulasan:

  1. Apa khabar pelajar kita di Mesir yang terlalu ghairah untuk sokong pembangkang ?

    BalasPadam
  2. KALAU PAS LEBIH TUNDUK DENGAN KEHENDAK GUAN ENG ERTINYA BUKAN SEKADAR TUNDUK DARI SEGI POLITIK BAHKAN PAS LEBIH HORMAT DAN PATUH DENGAN FATWA GUAN ENG. MANA LETAKNYA MARUAH DAN AKIDAH PEMIMPIN2 PAS!!!

    BalasPadam