Ahad, 26 April 2015

Semoga Rakyat Kita Semua Selamat..!


Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan dengan angka kematian meningkat kepada lebih 1,800 orang di Nepal, kebanyakannya di Kathmandu.

Manakala India pula melaporkan 51 kematian dan 10 cedera di Tibet susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 melanda kawasan Himalaya itu tengah hari semalam.

Gempa bumi itu yang menyebabkan runtuhan besar-besaran berhampiran kem 1 dan 2 Gunung Everest, setakat ini merekodkan 18 kematian.

Menurut pegawai Nepal, terdapat hampir 1,000 orang di kawasan gunung itu semasa gempa bumi itu berlaku pada kira-kira tengah hari (waktu tempatan) semalam.

Pusat Kaji Ukur Geologi Amerika Syarikat berkata gempa bumi itu berlaku pada 11.56 pagi (2.56 petang waktu Malaysia).

Gempa pada awalnya dilaporkan berukuran 7.7 pada skala Richter sebelum dipinda kepada 7.5 dan kemudiannya dinaikkan kepada 7.8.

Setakat ini, 45 gempa susulan dilaporkan dengan ada antaranya berukuran 5 hingga 6 pada skala Richter.

Gempa bumi itu mengakibatkan kemusnahan besar-besaran harta benda dan juga merosakkan banyak mercu tanda bersejarah termasuk tapak warisan diiktiraf UNESCO seperti Menara Dharahara Tower dan Dataran Durbar. 

Bekalan elektrik, air dan rangkaian telekomunikasi dilaporkan mengalami gangguan semalam dan awal pagi ini talian komunikasi kembali pulih secara berperingkat di beberapa kawasan.

Pihak berkuasa di India dan Nepal berkata berlaku krisis kemanusiaan dengan kebanyakan penduduk di bandar raya terjejas masih belum dapat menerima hakikat kejadian bencana alam itu.

Penduduk  dilaporkan berada dalam keadaan tidak keruan dan kesedihan jelas terpancar pada wajah mereka yang kematian anggota keluarga dan rakan dengan angka kematian dijangka terus meningkat tatkala pasukan mencari dan menyelamat dilaporkan sudah sampai ke kawasan bukit lebih tinggi dengan Lembah Kathmandu dilaporkan paling teruk terjejas.

Susulan banyak maklumat dilaporkan tentang tahap kemusnahan, media tempatan di ibu negara Nepal pula memaparkan visual beribu-ribu penduduk bermalam di kawasan terbuka, dengan pihak berkuasa mengeluarkan amaran lebih banyak gempa susulan dijangka berlaku dalam 24 jam akan datang.

Pihak berkuasa India menghantar bantuan perubatan dan makanan manakala kira-kira 150 anggota Pasukan Respons Bencana Negara (NDRF) sudah berada di kawasan terjejas bagi membantu pasukan keselamatan Nepal yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat.

India turut menghantar kira-kira 40 doktor yang telah memulakan kerja dan mendirikan hospital lapangan dengan ribuan orang dilaporkan mengalami kecederaan teruk.

Awal pagi ini pada kira-kira 1 pagi, kumpulan pertama 102 warga India yang terkandas telah dibawa pulang ke Delhi menggunakan dua pesawat tentera.


Lu Fikir La Sendiri!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan