Islam adalah ajaran yang cintakan perdamaian dan mempelopori toleransi. Ia mengiktiraf kebebasan orang bukan Islam dalam hal memilih agama mereka sendiri (Surah Yunus: 99). Menurut para mufasir, antara lain sebab turunnya ayat 256 Sural al-Baqarah berkaitan hak kebebasan beragama adalah berikutan timbulnya keinginan Abu Husain agar kedua-dua anaknya memeluk Islam.

Tapi tindakan ini dilarang Rasulullah SAW. Ayat ini menjadi qarinah bahawa Islam tidak ditegakkan dengan kekerasan atau paksaan.

Banyak petunjuk dalam al-Quran. Prinsip toleransi pada ayat 108 Surah An-An’am menerangkan kaedah yang harus menjadi sikap Muslimin ketika berinteraksi dengan orang bukan Islam. Ayat ini melarang kita mencela sembahan mereka untuk mengelak berlakunya perkara tidak diingini. Menghina sembahan penganut agama lain tidak membawa kita kepada hidayah ALLAH SWT.

Umat Islam juga dianjur mempamerkan kebaikan bukan sahaja kepada sesama Muslim, tetapi bukan Islam, misalnya menziarahi yang sakit dan menghulur bantuan kepada mereka yang ditimpa musibah. Rasulullah SAW sendiri pernah menziarahi lelaki Yahudi yang sakit. Sebagai jiran, orang Islam mesti sempurna hak kejiranan selagi kebaikan ini tidak menyentuh soal akidah, yakni bebas daripada unsur kebatilan dan kesyirikan.

 Islam menekankan persamaan hak antara manusia, dan memberi pembelaan kepada semua tanpa prasangka buruk. Dalam Islam, keadilan bersifat mutlak, yakni tiada unsur dapat menghalang tertegaknya keadilan baik perbezaan agama, jantina, kedudukan atau pangkat.

Faktor-faktor inilah yang menjadi asas pembentukan negara Islam Madinah yang dipimpin Baginda. Ia negara ideal kerana ada Piagam Madinah, yang di dalamnya terkandung prinsip-prinsip toleransi agama yang membolehkan masyarakat pelbagai kaum dan agama hidup dengan aman. Daripada 47 fasal dalam piagam ini, 23 adalah berkaitan hal ehwal umat Islam (Muhajirin dan Ansar) dan baki 24 fasal berkaitan hal ehwal bukan Islam.

Khalifah Umar al-Khattab, sebagai contoh, berpegang teguh kepada prinsip-prinsip ini. Apabila beliau menakluki wilayah Baitul Maqdis, beliau memberi jaminan keadilan dan toleransi kepada semua rakyat, termasuk bukan Islam. Begitulah juga Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang menguasai semula wilayah Baitul Maqdis, yang sebelumnya berada di bawah tentera Salib.

Demikian cara Islam mengatur kehidupan bermasyarakat antara umat Islam dan penganut agama lain. Kerana ini, orang bukan Islam minoriti di negara-negara Islam dapat menjalani aktiviti keagamaan mereka dengan bebas (Muhammad ‘Uqlah, 1991; Dr Yusuf al-Qaradhawi, 1999). Malaysia adalah contoh terbaik. Walaupun sebuah negara bermajoriti Islam, warganegara bukan Islam bebas memilih agama dan menyambut hari kebesaran mereka dengan aman damai. Situasi ini adalah bukti kebebasan beragama wujud disuburi semangat toleransi golongan majoriti. Suasana harmoni antara penganut pelbagai agama dapat jalinkan perpaduan dan muhibah.

Namun untuk persefahaman dan kestabilan yang berkekalan dalam sebuah masyarakat majmuk, sikap toleransi dan prinsip keadilan perlulah berlaku secara dua hala. Sebagaimana penganut agama lain tidak suka agama mereka dihina, mereka juga harus elak daripada menghina agama dan umat Islam. Dalam konteks Malaysia, semua rakyat mesti menjaga percakapan, tulisan, tindakan dan perbuatan. Sikap dan pemikiran yang melampau, jika dizahirkan, tentulah akan mendapat reaksi yang keras juga.

Ini sebenarnya nilai sejagat, yakni inti kepada ayat 58 Surah an-Nisa yang mana Rasulullah SAW menunjukkan sikap toleransinya dan menjadi pedoman berguna bahawa tahap amanah sebenar adalah merentasi batasan akidah. Sikap toleransi beragama juga dapat dilihat pada ayat 8-9 Surah Mumtahanah yang menegaskan ALLAH tidak melarang Muslimin melakukan amal kebajikan dan menjalin hubungan baik dengan bukan Islam. Tapi jika mereka bertindak dan melakukan perkara yang menjauhkan orang Islam daripada agama dan mengancam cara hidup Islam, tatkala itu hubungan baik tidak perlu diteruskan lagi. Tegasnya, jika kedua-dua pihak ingin menjalinkan persefahaman dan perpaduan, janganlah melakukan tindakan permusuhan. Jangan cabar sensitiviti penganut agama lain. Hayati dan hormatilah toleransi yang wujud selama ini.


Lu Fikir La Sendiri!!!