Tidak kira siapa menghina Islam, salah tetap salah. Tindakan mesti diambil. Walaupun mungkin orang Islam (Melayu) sendiri melakukannya. Tidak ada pilih kasih dalam Islam dalam menentukan keadilan.

Terbaharu, Timbalan Perdana Menteri (TPM) dimangsakan oleh ultra kiasu ekoran kontroversi klip video menghina Islam dalam internet. Memaparkan seorang individu Islam menyambut Aidilfitri bersama tiga anjing dengan latar bunyi takbir raya.

Mula-mula agak suspens, sama ada yang melakukannya orang Islam atau bukan Islam. Setelah disiasat, rupa-rupanya orang Islam. Ultra kiasu bersorak gembira.

Lanjutan itu, ultra kiasu mendesak TPM memohon maaf kerana telah memberikan respons awal sebelum dikenali siapakah yang melakukannya.

Sedangkan, kenyataan TPM adalah rentetan daripada penghinaan demi penghinaan yang dilakukan oleh bukan Islam sebelum ini.

Kenyataan TPM yang didakwa berbunyi, “bukan Islam telah memperlekehkan dan mempersendakan agama Islam, sedangkan tiada orang Islam yang mempersendakan agama-agama bukan Islam seperti Kristian, Hindu dan sebagainya” diperbesar-besarkan.

Pada saya, jika benarlah kenyataan TPM tersebut, permohonan maaf tidak perlu dilakukan. Umat Islam tidak boleh lagi bersabar dengan penghinaan demi penghinaan yang semakin berleluasa dan sengaja dilakukan.

Itu pun nasib baiklah umat Islam tidak bertindak balas seperti yang berlaku di negara lain. Jika tidak, saya pun tidak boleh menjangkakan apa akan terjadi.

Lagipun, menyamakan video anjing tersebut dengan kes Alvivi adalah dua perkara berbeza. Video anjing itu adalah kejahilan. Manakala video Alvivi adalah kesengajaan, Adakah kita sudah lupa video hubungan seks rambang pasangan ini yang sengaja dipaparkan? Tidakkah ia mengganggu ketenteraman awam?

Isu ini mengingatkan saya kes ketuk ketampi perempuan berkulit putih di penjara pada tahun 2008. Heboh satu Malaysia. Ultra kiasu mendakwa polis melakukan penderaan di penjara dan berlaku tidak adil ke atas orang Cina.

Tanpa soal periksa, Perdana Menteri ketika itu telah menghantar seorang menteri ke negara China untuk meminta maaf.

Namun, setelah disiasat, rupa-rupanya bukan warga Cina yang ketuk ketampi di penjara, tetapi orang Melayu. Tiba-tiba satu Malaysia senyap. Kenapa ultra kiasu tidak bela Melayu tersebut? Kena pada Cina (bukan Islam) tidak boleh. Kenapa pada Melayu OK. Bukankah parti dan NGO ultra kiasu selalu mendakwa bahawa mereka berjuang untuk semua kaum?

Kenapa dalam isu ini, TPM dipaksa untuk meminta maaf? Siapa ultra kiasu ini? Ingat, penghinaan ke atas Islam oleh bukan Islam bukan dibuat sekali dua, tetapi berkali-kali.

Saya setuju dengan pendapat TPM, orang Islam jarang sekali kedengaran kenyataan atau tindakan mereka menyakiti bukan Islam. Jika adapun, boleh dibilang dengan jari berbanding bukan Islam. Itu pun hasil provokasi bukan Islam. Bila orang Islam bertindak balas, ‘dibuktikan bersalah’, hukuman yang diterima oleh orang Islam tersebut begitu berat. Tidak siapa pun membela mereka.

Namun, bila ada bukti menunjukkan bukan Islam bersalah, seperti kes Alvivi, yang mana jaminan tidak diberikan, heboh satu Malaysia. Mereka mendakwa mahkamah tidak adil. Hukuman tidak setimpal dengan kesalahan.

Nasib baik PRU13 telah berlalu. Jika ditakdirkan PRU13 masih belum selesai, saya amat yakin kesalahan orang seperti Alvivi sudah lama dimaafkan atau dibebaskan serta tidak akan didakwa atau dibicarakan langsung.

Inilah politik kita. Undi lebih penting daripada maruah agama, bangsa dan negara. Manusia berada di atas undang-undang. Saya harap kali ini tidak. Kita mesti bertegas, jika mahu melahirkan negara idaman, seperti negara lain.

Apakah kita lupa penghinaan ke atas al-Quran, terhadap Nabi, penghinaan azan dan perbuatan mencampak kepala babi ke dalam masjid dan surau? Ini tidak termasuk penghinaan terhadap perkara fundamental Islam seperti larangan pergaulan bebas lelaki dan perempuan (salon), arak, judi dan sebagainya. Belum lagi saya paparkan penghinaan terhadap raja-raja
Melayu dan kedudukan Melayu dan bahasa Melayu. Begitu juga isu perebutan anak kalangan pasangan memeluk Islam, yang selalu memihak kepada bukan Islam. Bertegaskah kita?

Justeru, kali ini, saya amat mengharapkan pihak berkuasa bertindak dengan tegas terhadap mana-mana pihak yang sengaja mencemarkan kesucian Islam, begitu juga jika ada umat Islam melakukannya ke atas bukan Islam.


Lu Fikir La Sendiri!!!