Rabu, 18 September 2013

Tiada Kekacauan Kongsi Gelap Di Melaka...!


Jangan tabur fitnah.. jangan sebar berita palsu..!!!

MELAKA 18 Sept. - Polis Melaka menafikan ada mengeluarkan kenyataan menerusi SMS, Facebook atau Whatsapp berhubung kekacauan melibatkan anggota kongsi gelap yang didakwa akan berlaku di beberapa lokasi di negeri ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye sebaliknya berkata, maklumat palsu itu dikeluarkan individu tidak bertanggungjawab untuk mewujudkan situasi tidak selamat dan rasa bimbang orang awam terhadap keselamatan mereka.

Beliau berkata, antara lokasi yang disebut dalam kenyataan itu ialah di sekitar Krubong, Durian Tunggal, Masjid Tanah, Bukit Beruang, Stesen Petron Malim, Gadek dan Stesen Shell Sungai Udang.

Katanya, kenyataan palsu itu dipercayai tersebar sejak 12 Sept selepas dua lelaki anggota Geng 36 mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di persimpangan lebuh raya SPA-AMJ dekat Cheng di sini.

"Polis Melaka ingin menegaskan bahawa tiada sebarang kenyataan telah dikeluarkan mengenai ancaman dan lokasi yang didakwa akan berlakunya kekacauan sebagaimana yang disebarkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai tidak perlu berasa khuatir tentang keselamatan mereka dan jangan mempercayai sebarang maklumat tanpa mengetahui sumber yang tepat.

Polis Melaka hanya mengeluarkan kenyataan menerusi akhbar, laman rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Facebook Polis Melaka atau orang ramai boleh menghubungi talian hotline 06-2851999 untuk mendapatkan maklumat sahih, katanya. - BERNAMA


Lu Fikir La Sendiri!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan