Ubat kekadang pahit untuk ditelan...
Mengubat Hati Melayu
Kerap kali kita dengar, setiap kali berakhir Perhimpunan Agong Tahunan (AGM) sesebuah parti politik, mesej tidak lain, agenda bangsa mesti diperkasakan. Mereka mahukan bangsa mereka terangkat dan terdarjat. Tidak ada yang miskin, terbiar dan merempat. Pendek kata, semua bangsa mahu menjadi hebat.
Dalam usaha menuju mencapai matlamat itu, kerajaan akan didesak dan diugutkan untuk memenuhi tuntutan tersebut. Jika tidak ditunaikan undi akan beralih arah. Benar atau tidak, mereka mengundi, Tuhan sahaja yang tahu.
Atas nama bangsa, mereka bersatu. Gagasan 1Malaysia dijadikan alasan kuat untuk mendapatkan hak mereka. Begitulah kuatnya mereka menjaga bangsa mereka.
Hairannya, kenapa semangat ini semakin luntur kalangan pemimpin parti politik Melayu seperti UMNO, PAS dan PKR. Saya tidak mahu bincangkan parti PKR, parti serpihan UMNO. Saya tidak fikir parti ini akan bertahan lama sebab tidak ada agenda yang jelas.
Fokus saya hanya kepada UMNO dan PAS. Kenapa UMNO dan PAS tidak boleh duduk semeja untuk memperjuangkan nasib umat Islam dan Melayu? Sampai bila PAS harus menuduh UMNO kafir, korup dan sebagainya, sedangkan UMNO terus memerintah dan mewakili orang Melayu Islam? Begitu juga UMNO, sampai bila mahu menuduh parti PAS, parti Pak Lebai tidak tahu mengurus negara? Sampai bila mahu menolak kerajaan perpaduan atau unity government?
Bilakah agaknya kita mahu menggembelingkan kekuatan dan mendapatkan hak? Jika kita terus bersikap sebegini, kita tidak akan ke mana-mana? Apa yang tinggal pada Melayu?
Wajarkah di kala parti lain begitu kuat menjaga bangsanya, kita pula mendesak parti Melayu supaya hilang kemelayuannya? Siapa yang kita harapkan untuk menjaga Islam dan Melayu? Tidakkah semua Melayu beragama Islam?
Saya masih menaruh harapan tinggi terhadap UMNO dan PAS. Walaupun apa jua tuduhan yang dibuat, sekurang-kurangnya UMNO dan PAS masih mempunyai hala tuju. Matlamatnya jelas. Soal sama ada mereka memperjuangkan atau tidak, itu kita boleh bincang kemudian.
Saya cuma ingin ingatkan UMNO dan PAS, bahawa masa semakin suntuk. Orang lain semakin kuat dan agresif mendesak. Sehinggakan untuk merobohkan rumah ibadat haram di tanah kerajaan sendiri begitu sukar untuk dilakukan bagi memberi laluan pembangunan.
Bayangkan jika di situ adalah rumah ibadat seperti masjid atau surau. Apakah kita seagresif itu untuk mempertahankannya. Mengkaji sifat Melayu Islam, saya fikir tidak. Melayu Islam akan mengalah akhirnya.
Terbaharu, Dong Zong dan sekutunya mahu menyaman kerajaan jika masih meneruskan agenda Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025, bagi memperkasakan bahasa Melayu di Sekolah Cina. Bayangkan, kerajaan hendak melaksanakan agenda kebangsaan yang sedia termaktub dalam perlembagaan pun tidak boleh. Berdaulatkah kita setelah 56 tahun merdeka?
Logiknya, jika agenda kebangsaan sudah jelas, kita tidak perlu bertanyapun kepada sesiapa, untuk mendapat persetujuan bagi tujuan perlaksanaan, kerana sudah sedia maklum. Ini tidak, kita seolah-olah meminta sedekah di bumi sendiri. Meraih simpati untuk melaksanakan hak bernegara.
Melayu mempunyai tanah iaitu Tanah Melayu atau tanah rezab Melayu. Malangnya tanahnya sebahagian besar sudah jatuh kepada bukan Melayu terutama di kawasan bandar. Melayu mempunyai tulisan iaitu tulisan jawi, malangnya telah diganti menjadi tulisan rumi. Melayu mempunyai bahasa iaitu bahasa Melayu, malangnya bahasa ini semakin melayu (layu).
Melayu mempunyai keretapi iaitu Keretapi Tanah Melayu, malangnya telah diganti menjadi nama komuter, ERL, LRT, monorail dan lain-lain nama glamour. Tanah ini, negeri Melayu, tetapi tidak ada sekolah Melayu. Sedangkan bangsa lain ada sekolah untuk bangsanya. Nasib baik, Melayu masih ada sekolah agama. Jika tidak, ada apa yang Melayu boleh wariskan.
Melayu tidak bersatu hati. Masing-masing mempunyai agenda tersendiri. Melayu tidak mahu dengar nasihat sesama Melayu. Melayu memandang rendah sesama Melayu. Inilah hati Melayu.
Ada yang mengatakan hati Melayu telah mati. Hati Melayu sudah tidak sensitif lagi. Rasullullah SAW mengingatkan bahawa hati kita ini bagaikan kuah yang sedang mendidih. Simpang siur dan turun naiknya begitu unik. Kekadang ia sihat dan baik bagaikan fitrah asalnya. Namun sesekali bertukar menjadi kelam, kusam, hitam bagaikan lakaran syaitan yang memantulkan kejahatan.
Seorang ulamak dan cendekiawan Islam ada berkata, antara tanda-tanda hati seseorang itu telah mati adalah tidak berasa sedih kerana tertinggalnya suatu amalan kebaikan, juga tidak menyesal jika buat sesuatu perlanggaran dosa.
Marilah kita melakukan muhasabah diri. Apakah hati Melayu begitu keras sehingga tidak nampak bahaya yang bakal dihadapi. Hati Melayu perlu dibaja kembali dengan iman dan Islam. Suka kepada kebaikan. Kebaikan yang dapat menjana kekuatan dan perpaduan. Lupakanlah sengketa yang lalu. Kita perlu memandang ke hadapan.
Pesan Imam Al-Ghazali: “Carilah hatimu pada tiga tempat. Cari hatimu ketika bangun membaca Al-Quran. Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah SWT, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kamu tidak mempunyai hati.”
Inilah hati Melayu yang sebenar. Bebas dari dendam dan hasad dengki. Carilah hati itu. Mudah-mudahan Melayu dan Islam akan menjadi kuat.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Lu Fikir La Sendiri!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan