Layan...
Bila sijahil bercakap soal akademik
Kenyataan Menteri Pendidikan II mengenai sistem pendidikan kita yang mendapat pengikhtirafan dunia, mendapat liputan meluas media sosial ultra kiasu, dengan mempersendakannya. Inilah akibatnya bila sijahil berbicara pasal akademik, di luar kepakaran mereka. Mereka hanya ambil satu dua fakta dan kemudian putar belit. Bahayanya ultra kiasu dalam politik negara.
Misalnya, ultra kiasu memanipulasikan data 135 ribu pelajar asing di IPT, dengan memadamkan fakta lain yang ditimbulkan, seperti bidang yang menjadi tumpuan dan tarikan dunia serta pengikhtirafan yang diberikan.
Ultra kiasu tidak memetik laporan Thomson Reuters 2014, yang mana 4 profesor IPTA yang diiktiraf sebagai antara minda saintifik utama dunia. Profesor tersebut memperoleh kepujian melalui penerbitan artikel terbanyak yang kerap dipetik oleh orang lain.
Dalam bidang perbankan dan kewangan Islam pula, ternyata Malaysia menjadi rujukan dunia. Ramai pensyarah kita yang menjadi buruan. Peliknya ultra kiasu tidak nampak semua itu. Mata hati mereka gelap.
Penting sangatkah mendapat ranking terbaik dunia? Apakah jaminan bahawa pelajar yang keluar dari universiti terbaik dunia boleh menjadi terbaik di alam pekerjaan, berguna kepada agama bangsa dan negara?
Ramai usahawan ultra kiasu yang berjaya di negara ini, tidak mendapat pendidikan di mana-mana universiti, tetapi mereka dikategorikan sebagai kalangan terkaya di negara kita. Kejayaan mereka disebabkan oleh bantuan sistem kerajaan yang sedia ada, yang menyebabkan mereka boleh jadi kaya raya. Begitu juga ahli DUN dan ahli parlimen ultra kiasu, hanya mendapat pendidikan di IPTA dan bersekolah menengah, tetapi dipilih menjadi wakil rakyat. Malah, ada yang ditangkap berjudi. Dari universiti mana pula ultra kiasu ini belajar?
Terbaik atau tidak, biar orang akademik yang bercakap. Pada saya, yang lebih penting, mereka tidak menjadi terlalu ultra kiasu yang anti-establishment. Kiasu itu baik, tetapi bila menjadi ultra, itu bahaya, walaupun mereka lahir dari kalangan 10 universiti terbaik dunia.
Saya amat bimbang dengan mereka kononnya datang dari universiti terbaik dunia, bila kembali berkhidmat di negara, mereka menjadi lebih orang putih dari orang putih atau lebih Cina dari orang di China.
Jangan terlalu obsess mengejar ranking sehingga terlupa modal insan dan kemahiran insaniah. Apa guna keluar dari universiti terbaik dunia, jika hati mereka kotor. Tidak setia pada negara, malah belot dan membocorkan rahsia negara kepada orang lain.
Apa yang penting pada hari ini pada saya adalah; pertama, kita berjaya melahirkan pelajar yang ada pakej. Baik dalam akademik, professional dan berakhlak mulia. Ramai pelajar universiti terbaik dunia yang kehidupan tidak seperti manusia.
Kedua, jangan terperangkap dengan permainan “politik perniagaan pendidikan” Barat. Semua yang dibuat barat itu betul. Kita masih berada dalam “colonized mind and attitude”. Barat sangat pandai bermain silap mata. Wujudkan ranking, kemudian ubah kriteria dari semasa ke semasa. Kita terhegeh-hegeh mengejar.
Misalnya, permainan SCOPUS dan ISI. Penerbitan dibayar dengan harga mahal. Siapa yang kaya, penulis atau penerbit? Lebih menyedihkan apabila satu artikel ditulis oleh sebilangan pensyarah sehingga ada yang melebihi 10 orang. Tidak salah, tetapi kurang comel. Ini tidak termasuk yang menenggek.
Ketiga, jangan anaktirikan penerbitan tempatan. Sedih melihat apabila penerbitan tempatan ibarat hidup segan, mati tak mahu. Lebih teruk lagi apabila buku-buku dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, yang banyak membuka minda tidak lagi dihargai. Saya ucapkan tahniah kepada UniSZA kerana masih rasional dalam perkara ini.
Keempat, akibat dari terlalu mengejar ranking, pensyarah tidak lagi ikhlas dengan ilmunya. Menulis kerana mengejar status, bila berhadapan dengan khalayak, menjadi kaku dan bisu, tidak down-to-earth. Bila berceramah, khalayak tidur.
Berbeza dengan di barat sendiri, KPI sarjana dinilai kepada sebanyak mana ilmu dan kepakaran disumbangkan kepada masyarakat. Sumbangan mereka menulis untuk penerbitan berkala, akhbar, majalah mahupun buku cerita kanak-kanak, amat dihargai, kerana para pensyarah itu dikatakan milik masyarakat.
Maka, tidak hairanlah sarjana yang berada di Barat itu amat rapat hidupnya dengan masyarakat, dihormati kawan dan lawan. Kenapa ia tidak berlaku di sini? Jawapannya kerana terlalu mengejar SCOPUS dan ISI? Hidup macam kera sumbang.
Akhirnya, kita sepatutnya berfikir seperti orang Jepun. Tidak terlalu obses mengejar ranking. Yang penting kita tahu apa yang kita buat. Misalnya, Fakulti Kejuruteraan Automobil, Universiti Tokyo, adalah antara fakulti terbaik dunia, meskipun berada dalam ranking 100 terbaik dunia. Hal ini sepatutnya boleh berlaku kepada Akademi Pengajian Melayu, UM, Fakulti Kontemporari Islam, UniSZA dan UKM. Berfikir dan bertindaklah seperti mana orang Jepun, sentiasa memastikan bangsa dan negara mereka dimartabatkan tanpa membunuh jati diri mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan