Rabu, 9 April 2014

MH370 ~ SAH KOTAK HITAM...NAMUN..!!!


Pakar sudah mengesahkannya..! Kotak hitam apa? kotak hitam pesawat MH370?

PERTH – Para pakar di Australia dan Amerika Syarikat mengesahkan bahawa isyarat detikan yang dikesan kapal-kapal mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang di selatan Lautan Hindi merupakan peranti buatan manusia dan bukan bunyi semula jadi lautan, demikian menurut Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC).
Ketua Penyelarasnya, Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston berkata para pakar dari Pusat Analisis Akustik Bersama Australia (AJACC) di New South Wales dan pengeluar kotak hitam di Amerika Syarikat, mengesahkan bahawa isyarat 33.31 khz itu adalah daripada perakam data penerbangan sebuah kotak hitam.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada isyarat itu datang daripada kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370.
“Dua isyarat yang dikesan kapal pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield ialah pada 4.27 petang dan 10.17 malam semalam,” katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan usaha menjejaki pesawat MAS Penerbangan MH370 di sini Rabu.
Beliau berkata isyarat pertama berlangsung selama 5 minit dan 32 saat dan yang kedua, 7 minit.
Pada Isnin, kapal pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield mengesan dua bunyi akustik detikan dalam pencariannya selepas mengesan isyarat itu kali pertama pada Ahad, manakala kapal China Haixun 01 pula mengesan dua isyarat pada Jumaat dan Sabtu.
Houston berkata isyarat-isyarat itu semakin lemah dan ini mungkin disebabkan bateri kotak hitam hampir luput atau alat itu digerakkan oleh arus lautan.
“Lebih banyak isyarat itu yang dapat kami kesan, kami dapat memperhalusi kawasan carian dengan lebih baik,” katanya.
Katanya buat masa ini, kawasan carian bagi Ocean Shield adalah 25km persegi menggunakan ‘towed pinger locater’, manakala carian di udara akan bermula di kawasan yang ditetapkan.
Houston berkata satu daripada cabaran dalam usaha mencari di dasar lautan ialah kelodak di dasar lautan yang boleh menghalang rakaman kamera visual dalam usaha mencari pesawat itu.
Katanya kelodak itu mungkin sedalam 10 meter atau lebih.
Sementara itu, pada sidang akhbar yang sama, Komander Pasukan Petugas Khas 658, Komodor Peter Leavy berkata mereka telah meletakkan 84 pelampung sonar yang dibiarkan terapung di kawasan carian di lautan bagi membantu Ocean Shield mengesan isyarat.
Katanya alat itu mempunyai beberapa sensor yang boleh mengesan sebarang isyarat sedalam 1,000 kaki (304.8 meter).
Beliau juga berkata penggunanan kapal selam tidak sesuai disebabkan keupayaan selamannya terhad berbanding kedalaman lautan iaitu 4,500 meter.
BERNAMA
NAMUN…!

Kotak hitam pesawat penerbangan MH370, sekiranya ditemui kelak, harus diserahkan untuk siasatan kepada pihak yang boleh dipercayai dan cekap untuk melakukan analisis ke atas perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan itu.

Bekas juruterbang kanan Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata siasatan itu juga perlu dilakukan oleh pihak yang bebas dan bukan di kalangan mereka yang berkepentingan dengan siasatan tersebut.

"Pencarian MH370 mungkin berakhir. Sekiranya kotak hitam itu ditemui adalah menjadi kepentingan semua pihak, ia disiasat oleh pihak yang boleh kita percayai, yang cekap, yang boleh berkomunikasi dengan baik, neutral dan bukan pihak yang berkepentingan.

"Mendapatkan semula (kotak hitam), mengeluarkan datanya dan menganalisis data itu harus dilakukan dengan bersih dan tidak terjejas dengan penglibatan mereka yang tidak tahu apa-apa," katanya dalam satu komentar di jaringan sosial Facebook hari ini.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu wawancara dengan The Straits Times pada Selasa berkata secara peribadi beliau tidak kisah sama ada siasatan itu dilakukan di Perth atau Kuala Lumpur.

"Secara peribadi, saya hanya mahukan kebenaran. Saya mahu tahu apa yang terjadi pada MH370. Tidak kisah bagaimana atau siapa atau di mana," katanya.

Pesawat Boeing 777-200 itu didaftarkan di Malaysia dengan pendaftaran 9M-MRO atas milik MAS. Di bawah Konvensyen Antarabangsa Penerbangan Awam (ICAO), Malaysia sebagai negara asal pesawat hendaklah melancarkan siasatan dan mendapatkan semula bangkai pesawat.

Malaysia bagaimanapun telah meminta bantuan Australia untuk mengetuai usaha mengesan pesawat berkenaan yang dipercayai kini berada di selatan Lautan Hindi.

"Di bawah ICAO, kita ada tanggungjawab untuk mencari kotak hitam. Tetapi ada cabaran diplomatik kerana ia melibatkan 14 negara," kata Hishammuddin, merujuk kepada kewarganegaraan 239 orang penumpang dan anak kapal.

Malaysia minggu lalu membentuk tiga jawatankuasa siasatan merangkumi hal ehwal waris, ketenteraan dan aspek teknikal usaha mencari MH370.

Jawatankuasa ini disertai oleh pakar dari agensi pengangkutan dan penerbangan dari Amerika Syarikat, Perancis, Britai dan China.

Pesawat penerbangan MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur dan Beijing hilang kira-kira satu jam setelah lepas landas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi 8 Mac yang lalu.

Siasatan awal mendapati sistem komunikasi pesawat telah dimatikan dengan sengaja dan pesawat berkenaan berpatah balik dari laluan asalnya.

Setelah usaha mencari dipergiatkan di Laut China Selatan dan kemudian beralih ke Lautan Hindi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac lepas mengumumkan pesawat itu "berakhir" di selatan Lautan Hindi — kawasan yang terpencil dan tidak ada tapak mendarat.

Lu Fikir La Sendiri!!!

4 ulasan:

  1. ..ada 2 perakam dlm black box ni..

    1. FDR flight data recorder yg merakam secara loop terus menerus selama 17-25jam ttg kelajuan ketinggian dll ttg pesawat

    2. CVR cockpit voice recorder yg merakam segala mcm bunyi di dlm flight deck hanya merakam 2jam terakhir

    apa yg berlaku ketika MH370 keluar dari ruang udara msia tidak dapat lagi didengar.. samada zaharie menyuruh co-pilot keluar dari cockpit atau ada pergelutan yg menyebabkan pesawat menjunam dari 35ribu kaki ke 12ribu kaki..

    BalasPadam
  2. Aku cuma nak tahu sama ada tragedi yg berlaku ada kaitan atau tidak dengan Mamat al Jubori,si raja pembohong.

    BalasPadam
  3. ...kalau diikutkan, data-data boleh diperoleh semula walaupun dah terpadam atau overwrite dengan software tertentu..dapat recover balik walaupun tak semua dapat recover. Tak tahulah dalam kotak hitam macam mana storage dia. kalau lebih kurang sama, tak semestinya 2 jam terakhir jer dapat, sebelum2 tu pun dapat juga.

    BalasPadam
  4. Apa-apapun yang penting, sekiranya kotak hitam tersebut dapat dibawa naik, kerajaan Malaysia perlu menghantar wakil untuk menyaksikan sendiri semua proses yang melibatkan kotak hitam sehinggalah data-data di dalamnya dapat ditakrifkan.

    BalasPadam