Isnin, 14 Julai 2014

Salam Nuzul Al Quran..!


KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin menyarankan umat Islam di negara ini supaya menghayati ajaran Islam yang terkandung dalam al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan kehidupan.

Timbalan Perdana Menteri berkata kemurnian, kesucian serta kesejahteraan yang terkandung di dalam al-Quran akan menjadikan Malaysia negara Islam yang dihormati jika dihayati sepenuhnya dan disebatikan dalam kehidupan di negara yang majmuk rakyatnya.

"Marilah kita bersama-sama menghayati Nuzul al-Quran ini sebagai satu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah, marilah kita mempertingkatkan amal ibadah kita sepanjang bulan Ramadan yang barakah ini di samping menginsafi keadaan umat Islam pada masa ini," katanya dalam perutusan sempena Nuzul al-Quran, yang akan disambut esok.

Nuzul al-Quran merujuk kepada peristiwa turunnya ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadan.

Muhyiddin berkata umat Islam akan terus tabah menghadapi segala ujian Allah SWT selagi mereka memahami dan mengamalkan apa yang disarankan di dalamnya.

Menurutnya dalam peristiwa turunnya al-Quran, terdapat pengajaran yang dapat dijadikan tauladan dan iktibar.

"Sesungguhnya turunnya al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW pertama kalinya di Gua Hira' pada malam Jumaat 17 Ramadan iaitu tahun ke-41 daripada keputeraan baginda, mesti disyukuri oleh setiap umat Islam lantaran Kitab Suci itu menjadi panduan untuk kita umat Islam menjalani kehidupan sebagai khalifah di muka bumi ini," katanya.

Muhyiddin berkata Allah SWT menurunkan al-Quran secara berperingkat sehingga akhirnya menjadi sebuah kitab yang syamil dan kamil serta mencakupi semua aspek kehidupan.

"Al-Quran menjadi satu-satunya kitab yang mana intipatinya menjadi rujukan dari mula ayat pertama diturunkan sehinggalah ayat yang terakhir. Amat penting sekali isi kandungan al-Quran tidak pernah lapuk dan sentiasa sesuai dengan peredaran zaman," katanya.

-- BERNAMA

Lu Fikir La Sendiri!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan