Isnin, 7 Julai 2014

Puak Republik Dalam Kerajaan..!


Tak cukup ancaman dari luar..! ancaman dari dalam juga sedang giat dilakukan oleh puak pencinta republik yang mahukan bumi bertuah lagi berdaulat ini hilang jatidirinya, hilang asasnya, hilang kemelayuannya..! 

Hilang Melayu bermakna hilang Islamnya..! Hilang budaya dan bahasanya..! maka yang tinggal hanya republik..! republik tempat segala bangsat membiak..!

Kita masih menunggu respond Najib berkenaan puak harami didalam MKPN@NUCC..! Apa Najib buat? Apa yang Najib tunggu?

PENDEDAHAN bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad tentang peranan tangan ghaib di sebalik tugas mendraf Rang Undang-undang (RUU) Racial and Religious Hate Crime Bill; National Harmony and Reconciliation Bill; dan National Harmony and Reconciliation Commission Bill, cukup menggusarkan.
UPR
Walaupun misi pihak-pihak terbabit telah didedahkan dan ditangani susulan tuntutan-tuntutan batil mereka semasa sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, Switzerland yang lalu, namun mereka menafikan malah terus menggunakan alasan menjuarai hak asasi manusia.

Usaha berterusan Majlis Peguam dan Comango ini seolah-olah cuba untuk mengganggu-gugat keharmonian negara dengan usaha menghakis asas-asas di dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya kedudukan istimewa Islam sebagai agama negara, kedaulatan institusi Raja-raja Melayu, hak-hak kaum Melayu serta anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.
Ketiga-tiga RUU yang disediakan Majlis Peguam mengandungi lapan unsur yang boleh mengganggu-gugat keharmonian negara dan bukan memperkukuhkannya.
Jika kita mahu bercakap tentang usaha memperbaiki perpaduan negara, maka perkara utama yang wajib dilakukan oleh setiap warganegara ialah menghormati asas-asas dalam Perlembagaan Persekutuan, menghayati sejarah panjang sebelum Malaysia dibentuk dan menerima realiti yang menjadikan Malaysia sebuah negara berdaulat.
Peliknya, unsur-unsur yang diketengahkan dalam draf RUU banyak bercanggah dengan kehendak ini.
PERTAMA
Hakikat bahawa penggubalan RUU tidak dibincangkan dengan teliti dan dirujuk kepada pihak-pihak berkepentingan terlebih dahulu, menimbulkan tanda-tanya tentang motifnya. RUU tersebut melibatkan isu-isu agama, perpaduan kaum dan sebagainya, namun tidak disembah maklum terlebih dahulu kepada Majlis Raja-raja.
Draf tersebut juga tidak dirujuk kepada Majlis Agama Islam Negeri dan tidak dibincangkan bersama Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JMPKPA) dan badan berkepentingan lain. Sebaliknya, badan-badan yang kurang kredibiliti seperti Proham dan Global Movement of Moderates (GMM) memonopoli perbincangan isi kandungan draf RUU tersebut.
KEDUA
RUU tersebut mengetepikan kedudukan Islam sebagai Agama Negara menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan Agama Negeri yang termaktub sejak berabad. Kedudukan ini tidak pernah diganggu-gugat oleh British dan Kerajaan Persekutuan. Selain Perkara 3(1), Agama Islam telah dimartabatkan sebagai Agama Negara dengan diberikan pelbagai kedudukan terhormat dan perlindungan Perlembagaan seperti Perkara 11(4), 12(2), 37(1), 74(2) Jadual Kesembilan, 121(1A) dan Perkara 150(6A).
Hubung kait perkara 3(1) ini membawa maksud bahawa peranan dan kedudukan Islam tidak boleh diketepikan dalam membincangkan usaha mewujudkan perpaduan dan keharmonian antara agama dan kaum.
KETIGA
RUU Perpaduan Nasional (National Unity Bill) menyatakan pada seksyen 2(2) bahawa Perkara 153 ialah berhubung kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana negeri Borneo dan kepentingan sah kaum-kaum lain.
Bagaimanapun RUU Perpaduan Nasional itu sendiri bercanggah oleh kerana seksyen 7 menggunakan istilah seperti ‘racial superiority’, ‘exclusivity based on religion, belief, race…’ dan ‘…maintaining exclusive control by persons of a particular religion, belief, race…’.
Penggunaan istilah-istilah sebegini merupakan kritikan langsung dan percubaan merubah Perkara 153. Penggubal RUU Perpaduan Nasional ini perlu diingatkan tentang Perkara 38(5) bahawa "Majlis Raja-raja hendaklah diminta fikirannya sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar tentang tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153. Penggunaan istilah-istilah di atas cenderung merujuk pada sentimen dan faham hak asasi manusia dan boleh mewujudkan salah tafsiran terhadap konteks peruntukan Perkara 3(1) dan 153 di negara ini.
KEEMPAT
Kaedah penggubalan ketiga-tiga RUU ini bertentangan dengan norma penggubalan undang-undang negara. Penggubal yang terlibat ialah Majlis Peguam, iaitu kelompok elit kecil yang telah mencadangkan kepada Jawatankuasa Kerja dalam Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN). Hanya tiga pemain utama terlibat dalam penggubalan draf RUU tersebut dan kesemua ahli lain dalam MKPN tidak dirujuk secara sepenuhnya sebelum diserahkan kepada menteri (Nancy Shukri).
Majlis Peguam yang mempunyai kira-kira 14,000 ahli (yang juga tidak dirujuk apabila mereka mengeluarkan draf RUU tersebut) tidak mewakili kelompok majoriti umat Islam di negara ini yang akan menerima kesan langsung daripada peruntukan RUU tersebut.
Malah Majlis Peguam mengisytiharkan organisasinya sebagai badan sekular, justeru bukanlah pihak yang berkelayakan menyentuh isu-isu keagamaan.
KELIMA
Dalam mencanang tema perpaduan dan keharmonian negara, ketiga-tiga RUU tersebut jelas lebih tertumpu pada niat menjulang hak kesamarataan menurut Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, tetapi gagal merujuk pada fasal-fasal utama lain dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan perkara-perkara asas pembentukan negara ini serta perpaduan dan keharmoniannya.
RUU tersebut juga mengetepikan kedaulatan negeri-negeri dalam pelbagai aspek hanya kerana terpaksa tunduk kepada prinsip kesamarataan umum yang dipegang oleh penggubal. Mereka yang telah menggubal draf tersebut ternyata hanya menjunjung secara melulu konvensyen-konvensyen hak asasi manusia berkerangka liberal-sekular termasuklah International Convention of Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD), yang asal-usulnya disandarkan pada sentimen anti-Semitik dan pengalaman perkauman di negara-negara Eropah.
Sejarah dan latar belakang ICERD ini ternyata sangat berbeza dengan sejarah dan latar budaya Malaysia. Malah, Malaysia tidak meratifikasi ICERD dan tidak perlu tunduk pada konvensyen seumpama ini yang belum tentu merupakan model terbaik bagi mewujudkan perpaduan dan keharmonian negara.
KEENAM
Tafsiran kepercayaan (belief) dan agama (religion) pada seksyen 4 (1) RUU Perpaduan Nasional dinyatakan sebagai "any religious or philosophical belief and a reference to belief includes a reference to a lack of belief" dan "any religion and includes any belief or lack of a religious belief". Oleh yang demikian, tafsiran ini membuka ruang yang boleh termasuk dalam tafsirannya golongan yang tidak percaya Tuhan (Ateis) dan kebebasan meninggalkan agama. Ini ternyata bercanggah dengan prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan.
KETUJUH
Isu-isu di sekitar keharmonian antara agama dan kaum adalah terlalu penting untuk diserahkan hanya kepada sebuah tribunal yang dicadangkan dalam draf RUU Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional. Fungsi sebuah "Unfair Discrimination Tribunal" yang dicadangkan dalam rang RUU tersebut ternyata mengambil alih peranan institusi kehakiman dalam memutuskan isu-isu berkaitan Perlembagaan, serta peranan Raja-raja Melayu sebagai ketua bagi agama Islam di negeri-negeri Tanah Melayu.
Malah, jika diperhalusi, kuasa dan fungsi tribunal tersebut mengingatkan kita kepada cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (Interfaith Comission atau IFC) yang telah ditolak sekeras-kerasnya oleh pelbagai pihak khususnya NGO Melayu Islam dan Kerajaan Pusat.
KELAPAN
Seksyen 23 dalam RUU Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional memperuntukkan kuasa tribunal yang dicadangkan penubuhannya. Kuasa yang sangat luas tersebut termasuklah memanggil mana-mana individu untuk memberikan keterangan apabila sesuatu perbicaraan sedang dijalankan tribunal.
Ini sudah pasti membolehkan tribunal tersebut memanggil mana-mana pihak, khususnya dalam kalangan mereka yang berautoriti agama Islam. Aspek ini meletakkan hal ehwal Islam di bawah sebuah entiti yang tidak mempunyai kompetensi dan pengetahuan selayaknya tentang Islam.
Perlu ditegaskan bahawa cadangan tribunal ini tidak wajar berselindung di sebalik usaha perpaduan dan keharmonian negara untuk melakukan adjudikasi (penghukuman) isu-isu sensitif berkaitan agama dan bangsa. Kita mempunyai institusi kehakiman yang berwibawa untuk menangani isu-isu berkaitan Perlembagaan. Isu-isu berkaitan perpaduan dan keharmonian tidak sepatutnya ditangani melalui cara legalistik semata-mata, oleh kerana realiti sejarah, kebudayaan dan latar belakang keagamaan di negara ini terlalu bermakna untuk diketepikan begitu sahaja.
Oleh AZRIL MOHD AMIN
PENULIS ialah peguam yang mengetuai MuslimUPRo, iaitu delegasi Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan di dalam Semakan Berkala Sejagat di Geneva, Switzerland.
Lu Fikir La Sendiri!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan