Alhamdulilah..akhirnya YB Nancy Shukri tampil memberikan penerangan jelas berhubung RUU yang dibimbangi oleh setiap jiwa muslim dalam negara ini..! Syabas YB..!
PENJELASAN TERHADAP KEKELIRUAN BERHUBUNG PENGGUBALAN
AKTA KEHARMONIAN NASIONAL
Saya merasa terpanggil untuk menjelaskan beberapa isu mengenai
status Akta Hasutan 1948 dan penggubalan Akta Keharmonian Nasional setelah saya
menerima beberapa pertanyaan berhubung perkara ini. Pada masa ini, saya sedang
mengerjakan ibadah umrah di tanah suci Makkah dan demi kepentingan rakyat
Malaysia, adalah wajar isu ini diperjelaskan sebaiknya.
Seperti yang telah saya maklumkan di Parlimen pada sesi Dewan Rakyat
baru-baru ini, saya sekali lagi ingin menjelaskan bahawa draf Rang
Undang-Undang (RUU) Keharmonian Nasional tersebut sebenarnya belum lagi
dimuktamadkan kerana ia masih melalui proses konsultasi dengan pelbagai pihak
berkepentingan (stakeholders) di negara ini. Saya difahamkan bahawa terdapat tiga
(3) draf kerja (working draft) RUU tersebut berhubung keharmonian nasional
telah dicadangkan oleh Jawatankuasa Perundangan dan Dasar-Dasar Mempromosi
KeharmonianNasional di bawah Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) atau National
Unity Consultative Council (NUCC). Namun, ia masih lagi kekal sebagai cadangan
dan bukannya sesuatu yang telah dimuktamadkan oleh Kerajaan.
Justeru anggapan orang ramai bahawa draf RUU berkenaan telah siap
dan akan dibentangkan oleh Kerajaan di Parlimen adalah tidak benar sama sekali.
Kerajaan tidak akan melakukan sesuatu secara tergesa-gesa mahupun menggubal
sesuatu undang-undang yang boleh menggangu-gugat keharmonian negara ini.
Sesuatu draf RUU perlulah melalui proses penggubalan yang ketat dan
isi kandungannya hendaklah tidak bercanggah dengan undang-undang tertinggi di
negara ini, iaitu Perlembagaan Persekutuan. Draf RUU perlu disemak dan diteliti
oleh Jabatan Peguam Negara bagi memastikannya adalah menepati prinsip
undang-undang yang terpakai dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta
undang-undang lain yang berkaitan.
Menyorot latar belakang kepada perkara ini, pada 11 Julai 2012, YAB
Perdana Menteri telah menyatakan hasrat Kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan
1948 dan menggantikannya dengan suatu Akta baru yang dikenali sebagai Akta
Keharmonian Nasional. Objektif Akta Keharmonian Nasional bukan sahaja
k memperkasakan undang-undang tetapi juga untuk mencari mekanisme
yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin hak
kebebasan bersuara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan
membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang menggunakan
isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional.
Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN)
atau National Unity Consultative Council (NUCC),
yang diurus-setia oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN),
agensi di bawah seliaan YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup, telah
menjalankan konsultasi dengan stakeholders termasuk Badan-Badan Bukan Kerajaan
(NGO) bagi mendapatkan input mereka. NUCC adalah sebuah badan bebas yang telah
ditubuhkan oleh Kerajaan pada 11 September 2013 sebagai usaha penyatuan
nasional untuk mengurangkan polarisasi antara kaum dan dalam usaha membina
bangsa Malaysia yang bersatu padu. Badan ini bertujuan untuk membincangkan
isu-isu kompleks di kalangan masyarakat Malaysia bagi merintis jalan
penyelesaian dan merapatkan jurang yang menghalang perpaduan.
Melalui beberapa siri rundingan bersama stakeholders, Jawatankuasa
Perundangan dan Dasar-Dasar Mempromosi Keharmonian Nasional di bawah NUCC
seterusnya menghasilkan tiga (3) draf RUU berkaitan keharmonian nasional untuk
dipertimbangkan.
Hanya apabila selesai semua proses rundingan dan engagement,
draf akhir RUU yang dicadangkan oleh NUCC akan dimajukan kepada Jabatan Peguam
Negara untuk diteliti dan diperhalusi dengan lebih lanjut seperti mana proses
penggubalan undang-undang yang diamalkan di negara ini. Kemudian, barulah ia
boleh dibawa untuk mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di
Parlimen.
Sehingga hari ini, Akta Hasutan 1948 masih lagi berkuat kuasa sehinggalah
tarikh pemansuhannya diumumkan kelak, iaitu setelah RUU Keharmonian Nasional,
atau apa jua nama bersesuaian yang akan digunakan untuk akta itu kelak,
diluluskan di Parlimen.
Saya telah diserahkan tiga (3) draf cadangan kerja RUU ini atas
kapasiti saya sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal
undang-undang. Namun, ditegaskan bahawa input daripada draf-draf cadangan kerja
berkenaan masih lagi sedang diteliti dan dikaji. Penyerahan draf cadangan kerja
tersebut tidak bermakna kita harus dan akan bersetuju dengan segala cadangan
yang diberikan. Setiap cadangan yang dipertimbangkan akan mengambil kira segala
aspek yang melibatkan kepelbagaian agama dan bangsa di negara ini termasuk
Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan kedudukan Raja-Raja sebagaimana
termaktub dalam Perlembagaan.
Sekiranya sesuatu cadangan itu adalah baik dan sesuai serta boleh
dilaksanakan di negara ini, maka cadangan tersebut akan dipertimbangkan.
Seperti yang telah dinyatakan, Kerajaan tidak akan sama sekali membelakangkan
peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Saya berharap dengan penjelasan ini, ia dapat meredakan kegelisahan
dan salah faham di kalangan rakyat berhubung isu-isu berbangkit daripada RUU
Keharmonian Nasional dan pemansuhan Akta Hasutan 1948.
Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengambil peluang untuk
mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua rakyat Malaysia dan
mendoakan Malaysia terus kekal aman dan harmoni sentiasa.
Hajah Nancy Shukri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
1 Julai 2014.
Owh sbb ni la kerjaan malaysia tak nk behukum cara islam.. Ble ubah2 pla perlembagaan demokrasi.. Kira2 ble ikut hati je la kan.. Merdeka.. Merdeka sgt la kau...
BalasPadam