Ahad, 27 Julai 2014

Rakyat Palestin Tak Beraya...!

Aidilfitri Suram Buat Rakyat Palestin, Lebih 1,000 Kematian Di Gaza

Diterbitkan: Ahad, 27 Julai 2014 5:46 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Masyarakat Palestin di sini akan menyambut Aidilfitri dalam suasana suram susulan operasi ketenteraan Israel di Gaza yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,000 orang.
Pengarah Media Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Mohammad Alherbawi berkata, sekurang-kurangnya lapan anggota masyarakat Palestin di sini kehilangan keluarga kerana terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel.
"Jentera perang Israel menyebabkan kami tidak dapat menikmati kegembiraan pada hari yang mulia ini.
"Bagaimanapun, kami masih menyambut Aidilfitri dan berkumpul untuk membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Palestin berhak untuk hidup seperti rakyat di negara lain di dunia," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, anggota masyarakat itu akan berkumpul untuk acara kecil-kecilan yang menampilkan ceramah dan sesi khusus untuk kanak-kanak.
Terdapat kira-kira 3,000 orang Palestin di Malaysia ketika ini, katanya.
Sementara itu, Muslim Imran, yang menetap di Malaysia kira-kira 10 tahun, mengaku bukan mudah untuk masyarakat Palestin menikmati 'kuih raya' apabila rakan senegara mereka dibunuh beramai-ramai oleh rejim zionis.
"Kebanyakan rakyat Palestin di sini memutuskan bahawa sambutan Aidilfitri tahun ini akan diadakan secara kecil-kecilan atau dibatalkan," kata beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PCOM.
Beliau berkata, satu majlis khas mungkin dianjurkan bagi keluarga mereka yang terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel.
Pengarah Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Mohammad Makram Balawi pula mengutuk Tel Aviv kerana melancarkan serangan pada bulan Ramadan sehingga menyebabkan bulan mulia ini dicemari dengan darah rakyat yang tidak berdosa.
"Saya menaruh harapan agar kanak-kanak kami sekali lagi akan dapat menyambut Aidilfitri di sebuah negara Palestin yang bebas, dan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal dapat kembali ke tanah air. 
"Ia akan menjadi saat yang paling gembira untuk kami semua," katanya. 
Beliau merupakan penuntut sebuah universiti di sini di peringkat doktor falsafah dan telah menetap di Malaysia sejak lima tahun lepas bersama isteri serta anak-anaknya.

1 ulasan:

  1. Rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan keamanan yang dikecapi pada hari ini.

    BalasPadam