KUALA LUMPUR, 14 Oktober:
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima aduan berhubung kewujudan beberapa entiti seperti Interfaith Commission (IFC) atau Suruhanjaya Antara Agama, Persatuan Melayu Kristian, Pertubuhan Melayu Murtad dan seumpamanya, yang dikatakan telah berdaftar secara sah.
Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha, berkata perkara itu tersebar di media sosial yang sekaligus mengundang kebimbangan dan keresahan masyarakat Islam, kerana ia boleh mengancam kedudukan Islam serta menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
“Jakim telah membuat semakan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Kementerian Dalam Negeri, dan dimaklumkan bahawa entiti-entiti tersebut tidak berdaftar.
“Jakim juga mendapati, isu ini telah pun timbul beberapa tahun lalu dan ditimbulkan berulang kali dalam media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, cadangan penubuhan IFC telah dibincangkan dan dibantah pelbagai pihak, termasuklah Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri.
“Berkenaan pertubuhan yang dikaitkan dengan orang Melayu murtad pula, jika dilihat kepada laman kumpulan Facebook (Facebook group page) atau laman blog, kumpulan yang mempromosikan gerakan murtad telah lama bertapak dan semakin berkembang.
“Isu ini telah lama berlegar di media sosial, cuma sejak kebelakangan ini, ia semakin hebat dibincangkan,” katanya.
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempunyai bidang kuasa dalam perkara berkenaan dan sentiasa menjalin kerjasama dengan Jakim serta Jabatan Agama Islam Negeri bagi menangani isu itu.
“Ia bagi menangani isu-isu seperti ini, bagi memelihara kesucian Islam dan membendung umat Islam daripada terjebak dalam perkara-perkara yang bercanggah dengan Islam.
“Jakim berharap dan ingin memberi nasihat kepada umat Islam, supaya sentiasa berwaspada terhadap isu-isu seperti ini dan memberi bantuan dengan menyalurkan maklumat, sekiranya timbul sebarang keraguan atau kemusykilan,” katanya.