Fahamkan..!
Gagasan perpaduan masyarakat Melayu Islam
Kertas kerja ini dibentangkan oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman dalam Seminar Perpaduan Ummah Dalam Peradaban Malaysia pada 1 Oktober 2013 bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak.
Abstrak
Kertas kerja ini ditulis bertujuan untuk mencari jawapan yang pasti bagaimana agenda perpaduan dapat digarap semula dalam minda umat Melayu Islam dalam negara ini. Dengan wujud gambaran yang jelas terhadap peri pentingnya perpaduan untuk dibangunkan menjadi satu gagasan yang boleh menyelamatkan masa depan umat Islam itu sendiri. Diharapkan tulisan ini boleh membantu kita semua mencari jalan penyelesaian dan persefahaman demi survival dan masa depan umat.
Kata kunci; minda umat Melayu Islam, perpaduan, gagasan, survival, masa depan umat.
PENDAHULUAN
Banyak faktor yang dilihat menghalang perpaduan dalam kalangan umat Melayu Islam. Usaha menghalang ini sehingga sampai kepada satu tahap menafikan kepentingan perpaduan bahkan sampai ke tahap penolakan yang total daripada pemikiran politik mereka. Perpaduan pada sesetengah parti politik dianggap suatu yang haram dan bertentangan dengan mazhab politik, manakala perpecahan adalah satu solusi yang ideal untuk perubahan sosio politik negara ke arah yang lebih baik. Ini akibat daripada sikap tenggelam dalam pengalaman politik tiruan, di mana pemain-pemainnya gagal menanggapi hakikat tujuan politik sebenar dalam pembangunan sebuah negara Islam dan gagal menganalisa pertembungan politik mengikut anjuran fiqh siasi Islam.
Akhirnya politikus dan parti politik rancak bermain politik tetapi gagal membawa apa-apa keuntungan kepada kestabilan, kekukuhan dan masa depan politik umat Islam. Mereka hanya bersorak dengan berbagai-bagai slogan yang akhirnya menggadai segala kepentingan dan memusnahkan masa depan anak bangsa sendiri. Suasana yang kita hadapi hari ini amat kusut sekali tidak ubah seperti tali yang tersimpul, tidak diketahui mana hujungnya dan mana pangkalnya.
Kertas kerja ini cuba merungkai kekusutan tersebut bagi tujuan mendedahkan percaturan sebenar yang boleh menjelaskan kepalsuan persengketan politik yang sedang berlaku dan memberi keinsafan baru akan peri pentingnya satu gagasan baru diusahakan ke arah perpaduan yang sangat diperlukan.
- Order dunia baru dan globalisasi
Rancangan penguasaan dunia oleh Yahudi melalui new world order sudah lama didedahkan. Bagi tujuan penulisan ini, penulis hanya merujuk pada era selepas perang dingin dan kejatuhan Soviet Union yang membawa kepada dunia diperintah oleh sistem unilateral. Setelah kekalahan Soviet Union di Afghanistan, Amerika Syarikat melalui ucapan GW Bush telah melabelkan Islam sebagai musuh baru. Perang Salib terhadap dunia Islam atas nama memerangi terrorisme yang mensasarkan jati diri umat Islam itu sendiri. Bush mengistiharkan dunia terbahagi kepada dua sama ada bersama Amerika atau musuh Amerika. Dengan itu bermula perang pertembungan tamadun. Strategi mereka ialah dengan melahirkan kelompok dalam kalangan umat Islam sendiri yang beriman dengan fahaman liberal demokratik Amerika yang mereka namakan sebagai moderate. Orang yang memilih untuk pertahankan identiti dan jati diri bangsa masing-masing, enggan tunduk dengan fahaman liberal, akan dilabelkan sebagai musuh yang mereka gelarkan sebagai ekstremis.
Pertembungan berlaku dalam kalangan dua kumpulan ini tanpa perlu kehadiran tentera Amerika di mana-mana dunia Islam. Apa yang dilakukan oleh mereka ialah dengan memperbanyakkan dan mengaktifkan gerakan sivil (civil society) yang akan memasarkan agenda dan membuat perubahan yang dikehendaki oleh mereka. Gerakan sivil ini akan memperjuangankan slogan liberty, agility dan freenity yang juga merupakan slogan freemason waktu Revolusi Perancis.
Apabila tuntutan dipenuhi negara Islam, dengan mudah mereka menguasai dasar sebuah negara untuk kepentingan Zionis Kristian dan Yahudi melalui penguasaan ekonomi, kebebasan media dan juga politik. Agenda ini kita kenali juga dengan proses globalisasi, serangan pemikiran, pembaratan, kristianisasi dan sebagainya. Serangan ini sedang berlaku di Malaysia yang menuntut daripada umat Melayu memahaminya dan menangani dengan cara yang bijak dan berstrategik. Malangnya majoriti umat Melayu gagal menyelami agenda politik antarabangsa ini sebaiknya sehingga sebahagian besar daripada mereka telah bersekongkol dan menjadi agen atau proksi kepada Yahudi Zionis Amerika.
Lebih malang lagi mereka bukan sahaja bersekongkol dengan agenda daripada luar tetapi gagal mengecam proksi-proksi Yahudi yang bakal mengambil manfaat utama daripada kelalaian ini. Mungkin bukan Yahudi dari Amerika Syarikat yang memerintah Malaysia tetapi anak-anak buah mereka yang sedia ada berakar umbi dalam masyarakat Malaysia semenjak sebelum merdeka. Lalu mereka menjadikan anak buah Yahudi itu sebagai rakan setia.
- Sistem politik warisan penjajah yang sudah tamat tempoh sah laku
Setelah merdeka kebanyakan negara Islam dipecah-pecahkan menjadi negara nasionalis sekular. Walaupun struktur negara dari segi perlembagaan dan perundangan masih mengekalkan saki baki sistem pemerintahan Islam (beraja) seperti zaman sebelum merdeka tetapi pemerintah memilih untuk tidak kembali kepada semangat pemerintahan Islam. Sebaliknya meneruskan pentadbiran yang diwarisi oleh penjajah. Pemerintah lebih dipengaruhi politik machiavelli berbanding politik Islam iaitu politik kuasa dan harta. Setelah lebih lima puluh tahun berlalu, politik kuasa dan harta ini telah mengakibatkan kerosakan besar dalam masyarakat. Rasuah dan salah guna kuasa menjadi budaya yang tidak dapat diubat. Kekayaan terkumpul pada sebilangan kecil masyarakat. Sebahagian mereka menjadi diktator. Kelompok elit ini akhirnya leka dengan kemewahan dan gagal melihat kepentingan pembangunan masyarakat apalagi berkaitan dengan pembangunan agama dan bangsa. Akhirnya berlaku jurang antara rakyat dan elit pemerintah. Kepercayaan telah hilang dan segala jalan keluar menjadi tersumbat. Amerika dan Barat melihat sekiranya pemerintahan ini berterusan kepentingan mereka di negara Islam akan terjejas.
Justeru pemerintah yang dahulunya juga dibentuk dengan seliaan dan mengikut acuan penjajah kini menjadi sasaran kepada perubahan. Kita dapat melihat bagaimana rejim-rejim ini cuba mengadaptasi (membuat pembetulan dan mengekomodasi) dengan melakukan berbagai-bagai transformasi dari segi politik, ekonomi dan undang-undang bagi memanjangkan usia pemerintahan mereka. Saya tidak percaya ia akan berhasil, apa yang berlaku ini jika dilihat dari kepentingan nasional apalagi masa depan agama dan bangsa. Langkah transformasi pemerintah ini juga tidak memihak kepada Islam dan tidak menjanjikan masa depan yang panjang untuk pentadbiran mereka. Jadi sebenarnya kita tidak ada pilihan kecuali kembali kepada Islam dan melakukan taubat nasuha.
- Situasi Islam yang celaru
Keadaan yang tidak kurang teruk juga dialami oleh golongan Islamis yang mendokong agenda perubahan Islam. Walaupun dunia sedang menuju kepada sistem yang kucar kacir, mereka gagal membentuk kekuatan untuk menyelamatkan keadaan bagi mengurus perubahan mengikut kehendak politik Islam dan maslahah umat Islam. Sebaliknya mereka berada dalam keadaan teramat lemah dan gagal memposisikan agenda mereka dengan baik. Yang menyedihkan lagi ramai yang tertipu dan memilih untuk bertenggek dengan agenda liberal Yahudi yang akan memusnah dan menghancurkan agenda mereka sendiri dan sekali gus menguburkan masa depan Islam dan umat.
Gagasan perpaduan tidak relevan dalam keadaan dominasi parti-parti politik, sebaliknya perlu kembali kepada mafhum umat dan Islam. Kita perlu mengangkat gagasan berdasarkan kepentingan dan masa depan dalam kerangka ummah bukan kepartian. Perkara ini tidak dapat dicapai tanpa wujud keinsafan dan kepercayaan yang kukuh sesama umat Islam. Malangnya pengalaman umat Melayu Islam dalam arena politik sangat buruk sekali sampai kepada tahap berbaik dengan orang kafir lebih baik daripada bekerjasama sesama Islam. Inilah malapetaka besar yang sedang dihadapi oleh umat Melayu Islam pada hari ini.
Di mana pilihan Islam?
Dalam berhadapan dengan tiga situasi ini apakah pilihan yang ada pada umat Islam? Pada hemat penulis keadaan di atas semua menuju kemusnahan. Tidak boleh tidak umat Islam perlu keluar daripada situasi masing-masing dan bertemu atas satu wala’ perpaduan demi masa depan Islam dan survival umat Islam. Ia menuntut keinsafan daripada pemimpin UMNO bahawa segala pendekatan kosmetik tidak akan memberi guna. Begitu juga PAS, mereka perlu sedar bahawa DAP dan Pakatan Rakyat tidak akan memberi kedudukan kepada Islam dan Melayu. Begitu juga NGO-NGO Islam perlu memahami situasi yang sebenar. Saya memilih untuk berterus-terang dan bercakap benar supaya kita dapat mengenalpasti penyelesaian yang hakiki dan adil. Saya tidak percaya dengan pendekatan PAS masuk BN atau UMNO masuk PAS, sebaiknya kedua-dua pihak harus turun takhta masing masing dan sanggup meletakkan Islam dan Melayu di hadapan dan yang utama.
Antara dua pilihan
Situasi persekitan politik dunia menuntut kita satu pilihan politik yang kritikal iaitu samada kita ingin mempertahankan identiti keIslaman dan keMelayuan negara ini atau lebur dalam kerangka politik antarabangsa dalam sistem liberal demokratik yang menguntungkan Zionis Kristian. Dalam kerangka ini, pertembungan antara nasionalis dan Islamis pada hakikatnya tidak lagi relevan. Persekitaran politik baru menuntut pengolahan baru bagi politik umat Islam dan keluar dari tradisi. Pertembungan antara nasionalis dan Islamis tidak menyampaikan mana-mana pihak bertelagah ke mana-mana pun.
Malangnya secara tidak sedar pertembungan tradisi ini telah berkembang membentuk pola baru yang mengenepikan terus elemen atau agenda politik Islam dengan terbentuk pola pertembungan baru menuju ke arah pencairan identiti secara menyeluruh. Lebih malang lagi, sebahagian Islamis terperangkap dalam pola politik baru ini dengan mengubah haluan daripada tujuan asal kepada sekadar memperkukuhkan demokrasi, kebebasan dan kesamarataan. Mereka kuburkan terus persoalan identiti (huwiyyah) dan survival bangsa, berpada dengan urus tadbir yang baik (good governance) dan nilai universal yang kononnya itu semua adalah substance kepada siasah syar’iyyah.
Isu keperibadian dan jati diri (huwiyyah) yang sewajarnya diperjuangkan oleh golongan Islamis sebaliknya menjadi lebih dekat kepada golongan nasionalis yang masih sayangkan bangsa dan mempertahankan identiti keIslaman negara. Suasana ini sama sekali tidak menguntungkan politik dan masa depan umat Melayu Islam. Mereka sepatutnya keluar daripada situasi pertembungan palsu ini dan bersatu padu membentuk kekuatan bagi melakar corak politik baru yang menguntungkan Islam dan umat Islam sama ada dalam konteks senario di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Mengurus perubahan
Menyedari hakikat bahawa perubahan pasti berlaku, keperluan untuk membina kekuatan politik umat semakin mendesak. Kita tidak boleh menghentikan putaran perubahan yang banyak ditentukan oleh pengaruh luar. Golongan nasionalis tidak akan dapat pertahankan identiti dan politik yang bebas (independent) secara sendiri. Begitu juga golongan Islamis dalam kerangka politik liberal tidak mungkin diharap dapat mempertahankan apa-apa. Jauh sekali untuk mencorakkan politik dalam acuan Islam dan menguntungkan politik Islam serta masa depan umat.
Jadi semua pihak mesti menyedari bahawa mereka sedang menuju ke satu destinasi yang berbahaya dan berada dalam lingkungan yang salah, sekiranya mereka masih mempertahankan kepentingan mempertahankan identiti keIslaman dan politik hakimiyah Allah. Kita perlu kembali kepada perjuangan Burhanudin Helmi yang mengharmoniskan hubungan Islam dan nasionalis dalam konteks perjuangan Melayu. Lagi pun Islamis dan nasinalis bukan lagi pemisah dalam politik baru hari ini.
Persoalan asas ialah mempertahankan jati diri (huwiyyah) Islamiyah dan menentang apa-apa yang mengancam huwiyyah daripada fahaman yang merosakkan. Ini akan mengakibatkan peleburan identiti dalam masyarakat antarabangsa yang berasaskan kufur dan ateis (ilhad). Penyelesaian terletak pada tangan mereka yang memiliki kesedaran dalam kalangan umat Melayu dalam UMNO yang jujur dengan nasionalisnya, dalam PAS yang masih mempertahankan idealisme perjuangan Islam dan mereka yang ikhlas dari kalangan cendekiawan umat. Kesedaran golongan ini bagi merangka gagasan perpaduan atas asas mengembalikan kekuatan dan meneruskan legasi penguasaan politik Melayu Islam di Malaysia ini. Oleh itu kita perlukan muafakat baru, lukisan politik baru atau susuk politik baru supaya kita dapat menguruskan perubahan yang boleh menguntungkan Islam dan menjamin masa depan.
KEPENTINGAN PERPADUAN MELAYU ISLAM
Perpaduan Melayu Islam menjadi satu gagasan penting yang perlu direalisasikan demi mempertahankan Malaysia sebagai Tanah Melayu yang berdaulat dan mempertahankan sebuah pemerintahan warisan yang berteraskan Melayu Islam. Berdasarkan fakta- fakta yang telah disebutkan sama ada bersifat dalaman atau luaran, memperlihatkan kepada kita betapa mendesaknya isu ini dijayakan oleh semua pihak atau kelompok Melayu sama ada mewakili parti politik, NGO, kerajaan maupun pembangkang.
Semua kelompok Melayu harus keluar daripada kotak pertembungan sempit yang sedia ada, menginsafi kesilapan dan bersikap jujur kepada masa depan bangsa, negara dan tanah air. Sikap yang ditunjukkan oleh pihak-pihak yang bertelagah hingga hari ini belum menunjukkan adanya keinsafan yang benar-benar bermakna. Bagi menjelaskan lagi kepentingan perpaduan Melayu Islam ini, saya nyatakan sebab-sebab berikut dari beberapa aspek:
- Perpaduan adalah asas kekuatan ummah.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal ayat 60:
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠
(Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.)
Menurut Imam Hasan al-Banna kekuatan umat terbahagi kepada empat bahagian:
- Kekuatan iman dan akidah
- Kekuatan persaudaraan dan kesatuan
- Kekuatan tenaga dan fizikal
- Kekuatan persenjataan
Imam Hasan al-Banna mempunyai pandangan yang tersendiri berkaitan kekuatan. Menurut beliau perjuangan hak hendaklah disokong dengan kekuatan. Apa yang dirampas dengan kekuatan tidak mungkin diambil kembali kecuali dengan kekuatan. Politik adalah pertembungan antara kuasa dan pengaruh yang memiliki kekuatan tersendiri. Prinsip dan hak akan kalah tanpa disokong oleh kekuatan.
- Perpaduan juga merupakan tuntutan syarak.
Perpaduan dari sudut syariat boleh diperhatikan dalam ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW seperti berikut:
- Surah al-Anfal ayat 46:
وَأَطِيعُواْٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ ٤٦
(Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.)
- Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibn Majah:
عن جرير بن عبد الله أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال في حجة الوداع استنصت الناس فقال لا ترجعوا بعدي كفارا يضرب بعضكم رقاب بعض
Maksudnya: Daripada Jarir bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW bersabda pada Haji Wida’ berpesan kepada semua manusia; Janganlah kamu kembali kufur (berpecah belah) selepasku, sebahagian kamu memenggal leher sebahagian yang lain. (HR Ibn Majah).
Kedua-dua nas di atas jelas nenunjukkan bahawa perpecahan akan melemahkan umat Islam pada pandangan musuh. Dalam hadis Jarir, Rasulullah SAW mengumpamakan perpecahan itu satu perkara yang amat buruk seolah-olah kembali kepada kekufuran selepas beriman. Oleh sebab itu, perpaduan adalah satu tuntutan wajib bagi syarak yang boleh memberi kekuatan kepada umat Islam dalam menghadapi ancaman musuh. Tanggapan pihak tertentu yang menganggap perpaduan sesama umat Islam khususnya antara PAS dan UMNO satu perkara yang mungkar dalam strategi politik mereka, merupakan satu yang bercanggah dengan ajaran Islam yang jelas.
- Kewajiban mempertahankan identiti dan jati diri
Malaysia adalah satu warisan pemerintahan dan kedaulatan bangsa Melayu yang masih kekal merdeka. Identiti ini adalah anugerah Tuhan kepada kita bangsa Melayu. Ia adalah identiti yang kita warisi daripada datuk nenek, hasil perjuangan yang panjang. Kalau kita mengkaji dari sudut sejarah, telah banyak bumi Melayu yang telah dirampas bangsa penceroboh dan penjajah. Yang tinggal ini hanyalah sekangkang kera yang sudah tidak kukuh lagi untuk kita bertapak, apa lagi untuk meninggalkannya warisan kepada anak cucu untuk hidup merdeka di negara sendiri.
Malangnya yang masih ada ini sedang diasak bahkan diambil orang. Jika saki baki kuasa politik dan pemerintahan Melayu ini terlepas ke tangan bangsa penceroboh maka hilanglah segala yang kita warisi dan hancurlah masa depan anak cucu kita. Justeru wajib kita pertahankan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berteraskan akidah Islam. Dan kita menolak negara sivil yang tidak beragama dan berbangsa seperti yang dibawa oleh setengah pihak.
- Menghindari akibat buruk daripada perpecahan
Melalui perpaduan kita akan dapat menghindari tiga bahaya besar iaitu peleburan identiti, perang saudara dan penghapusan etnik. Sebahagian agenda asing yang berbahaya yang sedang melingkungi kita umat Melayu pada hari ini ialah empat agenda utama iaitu agenda liberalisme dan pluralisme, agenda Cauvinis Nam Tiem, agenda Evangelis Kristian dan agenda Syiah. Kesemua empat agenda ini berkumpul dalam satu gagasan untuk memusnahkan identiti dan jati diri umat Melayu supaya mereka dapat menjadikan Malaysia habuan mudah untuk kepentingan mereka.
Hanya dengan gagasan perpaduan sahaja Melayu Islam dapat selamat daripada bahaya yang yang sedang menerpa ini. Justeru umat Melayu Islam perlu bersatu padu untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara Melayu yang berteraskan akidah dan mereka semua perlu bertaubat dan melihat perpaduan sebagai keperluan agama dan masa depan bangsa bukan sebagai agenda politik.
Selama mana umat Melayu Islam daripada berbagai-bagai parti tidak dapat menyelami hakikat identiti mereka, menyedari ancaman yang sedang melanda dan melihat perpaduan dari kaca mata kepentingan umat selama itulah mereka tidak akan dapat menemui jalan ke arah perpaduan dan akan menjadi mangsa yang akan dibaham oleh musuh dari setiap penjuru.
Satu perkara penting yang saya ingin sebutkan juga di sini ialah kesedaran terhadap apa yang sebenarnya berlaku sekitar lingkungan politik orang Melayu akan menyedarkan PAS dan UMNO dan kalangan orang Melayu bahawa permusuhan antara PAS dan UMNO adalah satu permusuhan yang sia-sia. Saya ingin berterus terang dalam hal ini bahawa bukan sahaja PAS yang perlu perbetulkan sikap tetapi UMNO lebih-lebih lagi perlu mengumumkan taubat dan keluar daripada politik kuasa dan harta kepada politik dakwah dan risalah.
TUJUAN DAN SKOP PERPADUAN
Malaysia adalah warisan kerajaan Melayu Melaka di mana Islam adalah identiti negara dan kedaulatan bangsa Melayu di dalamnya mempunyai satu prinsip yang tidak boleh dipisahkan daripada mafhum kedaulatan negara Malaysia. Hari ini identiti (huwiyyah) negara Malaysia sedang dicabar. Ini bermakna kedudukan kedaulatan bangsa Melayu dan Islam sebagai sebahagian daripada mafhum kedaulatan negara sedang dimusnahkan oleh berbagai-bagai pihak yang telah disebutkan.
Berdasarkan senario yang berlaku perpaduan bangsa Melayu bertujuan:
- Mempertahankan keperibadian dan jati diri negara berteraskan Melayu dan Islam daripada ancaman agenda asing. Kewajiban agama dan bangsa ke atas setiap orang Melayu Muslim untuk mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara dengan satu perjuangan jihad yang menyeluruh merangkumi politik, ekonomi, pendidikan, budaya, perundangan, sempadan kedaulatan dan sebagainya.
- Membuat pembetulan terhadap dasar yang silap dari segi politik, ekonomi, pendidikan, budaya, perundangan dan sebagainya. Membuat pembetulan yang drastik, besar dan menyeluruh seperti ini memerlukan kekuatan perpaduan. Kekuatan yang boleh menjadi “back up” kepada keputusan politik yang kritikal. Orang Melayu perlu memahami situasi dan membuat bacaan politik yang betul. Isu-isu pergaduhan antara PAS dan UMNO adalah remeh dan tidak menjurus kepada perjuangan politik Islam yang sebenar. Orang Melayu khususnya PAS dan UMNO perlu memahami bahawa perbalahan mereka dalam isu-isu demokrasi, liberalisasi dan sebagainya tidak membawa faedah kepada politik Islam yang sebenar.
- Perpaduan dalam kerangka kepentingan umat Islam perlu menjadi maslahat politik setiap kumpulan atau golongan. Perlu ada satu garis kasar yang menjadi panduan semua kumpulan yang berjuang sama ada daripada parti politik atau pun NGO Islam.
Membuat pembetulan yang drastik, besar dan menyeluruh seperti ini memerlukan kekuatan perpaduan. Kekuatan yang boleh menjadi back up kepada keputusan politik yang kritikal. Orang Melayu perlu memahami situasi dan membuat bacaan politik yang betul. Isu-isu perpaduan antara PAS dan UMNO adalah remeh dan tidak menjurus kepada perjuangan politik Islam yang sebenar. Orang Melayu khususnya PAS dan UMNO perlu memahami bahawa perbalahan mereka dalam isu-isu demokrasi, liberalisasi dan sebagainya tidak membawa faedah kepada politik Islam yang sebenar.
MELAYU DAN ANCAMAN SURVIVAL
- Isu-isu dalam negara
Masyarakat Melayu yang mewakili majoriti umat Islam kini berada dalam keadaan lemah, tercabar dan dipolitikkan (musayyasah). Kenyataan ini boleh diperhatikan melalui senario masyarakat Melayu hari ini:
- Tiada lagi istilah Tanah Melayu. Ini bermakna bahawa pada hakikatnya Malaysia bukan lagi milik orang Melayu.
- Politik dan kepimpinan Melayu tercabar. Ia hanya warisan tradisi bukan hak yang termaktub dalam perlembagaan. Warisan dan tradisi ini sedang dicabar. Tiada lagi jaminan bahawa perdana menteri mesti daripada kalangan Melayu.
- Kontrak sosial tidak lagi dihormati dan hak-hak keistimewaan Melayu kini sedang dicabar dan kian terhakis. Kontrak sosial merupakan persetujuan atau persepakatan kaum Melayu dan bukan Melayu untuk memelihara kepentingan bangsa masing-masing. Kontrak ini menjadi asas kepada rangka Perlembagaan Persekutuan 1957.
- Begitu juga dengan Institusi Beraja yang mula dipermainkan dan dicabar kedaulatannya di Malaysia. Golongan cauvinis hari ini semakin berani dan lantang mempersoalkan tentang kedudukan institusi beraja dalam perlembagaan Malaysia.
- Globalisasi dan ancaman agenda asing terhadap survival umat Melayu
Masyarakat Melayu Islam juga berhadapan dengan ancaman dari luar yang merupakan agenda asing yang menguasai pemikiran dan mengawal kehidupan orang-orang Islam.
- Agenda kristianisasi Zionis yang digerakkan oleh golongan Evangelis yang semakin menapak kukuh di Malaysia.
- Hegemoni Barat yang merangkumi aspek politik, ekonomi, keselamatan dan teknologi. Pada waktu ini juga penglibatan non muslim dalam sistem ekonomi dan politik negara sudah terlalu mendalam. Mereka telah menggunakan pengaruh mereka di pos-pos strategik untuk merealisasikan agenda mereka. Dalam hal ini, Allah SWT memberi peringatan keras kepada orang-orang beriman dalam surah ali Imran ayat 118:
يَٰٓأَيُّهَاٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ بِطَانَةٗ مِّن دُونِكُمۡ لَا يَأۡلُونَكُمۡ خَبَالٗا وَدُّواْ مَا عَنِتُّمۡ قَدۡ بَدَتِ ٱلۡبَغۡضَآءُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَمَا تُخۡفِي صُدُورُهُمۡ أَكۡبَرُۚ قَدۡ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡقِلُونَ ١١٨
(Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi orang dalam (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.)
Menurut Ibn Khaldun dalam al-Mukaddimah, yang telah menghancurkan kerajaan Islam terdahulu ialah tindakan pihak kerajaan yang banyak menggunakan khidmat non muslim dalam pentadbiran negara dan mengurus urusan umat Islam. Hari ini sekiranya orang Melayu tidak mengambil pengajaran daripada kejatuhan kerajaan Islam dahulu, tidak mustahil akan mengalami nasib yang serupa. Yang amat malang ialah umat Melayu hari ini seolah-olah tidak memahami percaturan yang sedang berlaku di sekeliling mereka.
- Pertembungan tamadun antara Islam dan Barat yang menyaksikan munculnya agenda pengamerikaan dunia oleh kuasa Barat dan usaha mereka mewujudkan kumpulan muslim moderat daripada kalangan umat Islam sendiri.
- Kristian Evangelis dan Zionis
Kristianisasi merujuk kepada suatu usaha untuk mengkristiankan orang Islam. Dalam konteks negara kita,walaupun perlembagaan negara memberi kebebasan dalam beragama kepada rakyatnya namun terdapat larangan untuk agama lain mengembangkan agama mereka kepada penganut Islam. Usaha memurtadkan umat Islam sekarang dilakukan oleh golongan Kristian Evangelis yang juga mempunyai kaitan dengan Yahudi Zionis.
- Agenda Nam Tien dan Cauvinis Cina
Agenda Nam Tien adalah konspirasi penghapusan bangsa Melayu. Ia bermula dengan pencerobohan dan rompakan emas Kerajaan Melayu Champa oleh seorang Gabenor dari China yang bernama Tan Henzhi. Satu gerakan seolah-olah dilaksanakan untuk menawan keseluruhan Tanah Nusantara yang menjadi pusat pemerintahan orang Melayu. Gerakan ini dinamakan sebagai Nam Tien atau dalam bahasa Melayu bermaksud Gerakan ke Selatan. Gerakan ini diusahakan oleh golongan penakluk, untuk mengepung dan menolak orang Melayu hingga ke penghujung dunia.
Ekoran agenda Nam Tien yang mahu menghapuskan bangsa Melayu, berlakunya peristiwa Kedah Blockade pada tahun 1821 sehingga 1842. Kisah British menipu Sultan Kedah lantas memberi peluang untuk orang Thai menakluk dan menjarah Kota Alor Setar pada tahun 1821 sehinggalah pada tahun 1842. Pada ketika Kesultanan Melayu (Selangor, Kelantan dan Pahang) ingin membantu Kedah, British mengeluarkan askar-askar mereka untuk mengepung Kedah daripada menerima apa-apa bantuan. Ini membuktikan, tiada satu bangsa lain pun yang akan menyelamatkan bangsa Melayu kecuali bangsa Melayu itu sendiri.
- Perluasan pengaruh Syiah
Perluasan pengaruh Syiah ini dipercayai bermula selepas berlaku Revolusi Iran. Pengaruh akibat revolusi sangat besar sehinggakan ia turut mempengaruhi gerakan-gerakan amal Islam di Malaysia melalui slogan-slogan yang dibawa oleh mereka. Kini telah wujud penganut-penganut Syiah dalam kalangan orang Melayu dan keluarga Melayu.
HALANGAN PERPADUAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT MELAYU
- Politik dan kepimpinan
Pemimpin yang kuat dan adil adalah kunci kepada pelaksanaan tujuan politik Islam. Sebab itu merupakan perkara pertama yang dibahaskan dalam pengajian politik Islam iaitu berkaitan dengan ciri-ciri imamah atau khalifah. Pada suatu masa dahulu, isu ini adalah paksi (mihwar) perbalahan antara golongan Islamis dengan pemerintah suatu masa dahulu dan masih berlanjutan sehingga hari ini. Ketiadaan ulasan yang tuntas dan jelas menyebabkan isu ini kekal tergantung dan kusut tanpa penyelesaian.
Ia berkaitan dengan keabsahan dan pengiktirafan pemimpin negara Islam hari ini sebagai pemimpin kerajaan yang sah serta kewajiban menegakkan negara Islam. Kesan kekusutan hubungan itu maka hubungan golongan Islamis dengan pemerintah diselubungi perselisihan dan konfrantasi yang berpanjangan. Lebih malang lagi apabila para pejuang Islam gagal sampai kepada kesimpulan terhadap persoalan konsep negara Islam yang mereka mahu tegakkan. Dan ia telah menjadi tuntutan yang sangat samar dan abstrak yang mengakibatkan jalan menuju matlamat juga menjadi kabur.
Hari ini golongan Islamis masih mengekalkan konfrantasi yang tidak difahami dan sangat mendalam walaupun mereka telah mengubah cara, haluan dan destinasi. Walaupun rata-rata mereka terpengaruh dengan fahaman liberal demokratik tetapi permusuhan masih berterusan, seakan-akan perlawanan antara dua seteru yang hanya boleh hidup kalau salah seorang daripada mereka mati. Pada hemat saya isu ini perlu dirungkai dengan jelas dan tepat mengikut pendirian Islam yang sebenar menggunakan beberapa pendekatan:
Pertama
Wujud andaian yang berpendapat paksi perselisihan ialah dalam konteks politik Islam atau siyasah syar’iyyah. Ada percanggahan pendapat yang ekstrem dalam masalah ini. Ada berpendapat kerajaan yang ada adalah sah dan mereka adalah ulil amri yang wajib ditaati. Ada yang berpendapat bahawa negara ini negara kafir yang wajib ditentang dan muslim di dalamnya adalah sama dengan ahli zimmah dan ketiga menerima pemerintahan yang ada atas landasan kewajiban berusaha ke arah yang lebih baik.
Sejujurnya memang tidak wujud ciri-ciri lengkap pada kepimpinan hari ini seperti yang disyaratkan dalam fiqh politik Islam. Dalam konteks negara Malaysia, saya berpendapat bahawa pemimpin yang ada tidak melengkapi ciri yang dituntut, namun menerimanya sebagai realiti keterpaksaan dan percaya dengan kewajiban berusaha mengubah (jihad islah) beransur-ansur. Sekiranya wujud pengganti yang lebih baik, ia harus diganti melalui proses demokrasi dengan syarat tidak membawa mudharat yang lebih besar yang boleh menghalang proses pengislahan yang lebih menyeluruh.
Kedua
Wujud andaian bahawa golongan Islamis ini telah menukar haluan dan pendekatan daripada perjuangan Islam kepada perjuangan liberal demokratik. Maka saya berpendapat wajar bagi mereka mengendalikan perbezaan dalam kerangka kepelbagaian dalam sistem demokratik. Saya tidak berfikir kemungkinan wujud permusuhan dan dendam dalam sistem demokrasi, sebaliknya ia hendaklah ditangani dengan semangat keterbukaan dan liberal. Seruan saya kepada golongan Islamis supaya mereka rasional, cuba memahami fikrah mereka dengan lebih baik dan membaca situasi semasa berdasarkan perspektif politik yang betul. Saya percaya kita semua boleh bersetuju dengan pendapat ini.
- Kefahaman Islam dan masalah perbezaan pendapat dalam isu-isu cabang (furu’)
Pada asasnya masyarakat Melayu Islam di Malaysia menganut hanya satu mazhab iaitu Mazhab Ahlu Sunnah Wal Jamaah dan pegangan fiqhnya pula ialah kepada Mazhab Syafie. Ini bermakna unsur kesatuan dalam masyarakat Melayu Islam sangat kuat. Mereka daripada satu rumpun. Kumpulan etnik, satu bahasa dan budaya yang sama iaitu Melayu dan berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Namun Malaysia juga tidak terselamat daripada dipengaruhi oleh perbezaan kefahaman dalam isu-isu cabang (furu’) tertentu yang boleh menyebabkan perselisihan.
Sebagai contoh isu salaf khalaf, wahabi salafi , asy’airiyyah, golongan tua, golongan muda dan sebagainya yang menyebabkan perpecahan. Dalam hal perbezaan cabang (furu’) pendekatan akomodatif perlu dikenalpasti dan dengan itu sikap berlapang dada dapat dipupuk. Imam Hasan al-Banna seorang pelopor pemikiran tajdid pada abad ke-20 yang mencadangkan 20 usul yang bersifat (jami’) akomodatif yang menjadi penyelesaian kepada masalah ini. Sebagai contoh dalam hal ijtihad, pandangan imam dalam perkara cabang (furu’) wajib ditaati. Masalah tawasul, masalah bid’ah, masalah ayat mutasyabihat, masalah aqli dan naqli dan sebagainya ditangani secara terbuka.
- Sikap terhadap Barat dan agenda asing
Berhadapan dengan agenda Barat dan asing, umat Islam mempunyai dua pilihan sama ada mengikut dan meleburkan diri dalam agenda globalisasi atau mencuba sedaya upaya mempertahankan diri dan identiti Melayu Islam daripada terperangkap dalam permainan mereka. Dalam isu ini, umat Islam diingatkan agar sentiasa berpegang dengan tali Allah SWT, dan menjaga perpaduan antara umat Islam.
Musuh-musuh Islam sentiasa berusaha memastikan perpecahan dalam kalangan umat Islam terus berlaku dan tidak berhenti. Hanya melalui perpecahan umat Islam sahajalah mereka akan dapat terus berkuasa dan melebarluaskan kuasa hegemoni Barat di seluruh alam. Kekuatan jati diri dan identiti negara sangat penting bagi mempertahankan kedaulatan Islam di Malaysia. Negara seperti Cina, Turki, Jepun, Jerman dan lain-lain menunjukkan satu contoh yang jelas bagaimana mereka boleh maju dan berjaya TANPA perlu meleburkan diri dalam tamadun Barat.
Salah satu faktor yang membentuk jurang antara kelompok kelompok Melayu dan Islam di Malaysia ialah perdirian terhadap Barat dan agenda asing. Ramai dalam kalangan kita tidak memiliki kefahaman yang sewajarnya terhadap agenda asing yang melingkungi dan mengancam identiti bangsa dan negara. Mereka tidak memahami apa itu agenda pemBaratan (Zionis Amerika). Mereka tidak mengetahui agenda Timur China (Nam Tien) yang menghapus Melayu Campa dan Melayu Kedah pada abad ke-18. Mereka tidak mengetahui tentang agenda peluasan Syiah Iran. Dan lain-lain agenda yang mengancam masa depan umat Islam di Malaysia.
Oleh sebab itu kita mendapati sikap mereka berbagai-bagai sehingga mengadakan hubungan secara tidak berhati-hati dengan kumpulan tersebut. Bahkan telah dipengaruhi oleh agenda mereka. Ini menyebabkan sesetengah kumpulan bertindak sebagai proksi kepada agenda asing dan sanggup mengorbankan agenda bangsa sendiri. Dalam realiti hari ini, berada dalam keadaan ini yang saya namakan sebagai keadaan “musayyasah” dan berpecah-belah. Ini menyebabkan mereka tiada agenda sendiri yang boleh menyatukan mereka. Mereka sudah tidak kisah perjuangan mereka dan warisan mereka hilang daripada pegangan satu persatu. Mereka terperangkap dalam agenda asing dan menganggap permusuhan antara mereka adalah satu yang fardhu dan benar.
Apakah faedahnya liberalisme, sekularisme dan pluralisme agama kepada negara dan bangsa? Tidak ada faedah langsung tetapi terdapat dalam kalangan kita yang menjadi pejuang dan ramai yang menyokong perjuangan tersebut kerana kononnya untuk menyelesaikan kekusutan politik dalaman. Ada dalam kalangan orang Islam Melayu yang tidak memahami tentang ancaman Cauvinis Cina, agenda Nam Tien yang telah menghapuskan beberapa generasi Melayu di serata alam Melayu sepanjang sejarah. Justeru mereka menganggap bekerjasama dengan golongan ini sebagai agenda strategik dalam politik. Mereka tidak boleh memahami bahawa apabila golongan cauvinis berkuasa agenda Nam Tien akan dilaksanakan ke atas mereka.
Bahaya Kristianisasi daripada berbagai-bagai kelompok Kristian terutamanya kelompok Evangelis Kristian yang nyata membawa agenda zionisme tidak dapat diselami dengan baik oleh orang Melayu Islam. Gerakan ini bukan sahaja berbahaya kepada identiti negara tetapi juga boleh memecahkan kesatuan negara Malaysia apabila mereka menggunakan sentimen pendudukan Kristian untuk memisahkan antara Semenanjung dan Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak). Kerana tidak memahami atau berkepentingan politik, ada dalam kalangan orang Melayu dan Islam sanggup melindungi gerakan ini atas nama Dialog Keharmonian Nasional.
Begitu juga dengan bahaya peluasan Iran dan Syiah. Ramai dalam kalangan orang Melayu Islam yang terpengaruh dengan kempen “taqrib antara mazhab” memandang mudah dengan Syiah. Syiah bukan daripada agama Islam dan sangat nyata pengaruh Yahudi di dalamnya seperti Evangelis Kristian. Ia boleh mengundang perpecahan besar dalam kalangan umat Islam, bahkan pertumpahan darah sekiranya mereka diberi ruang pengaruh dan kuasa. Demikian malangnya umat Islam khususnya bangsa Melayu yang begitu naif dalam berhadapan dengan agenda asing. Kenaifan ini telah menggagalkan mereka untuk bersatu padu walaupun ancaman yang sangat merbahaya itu telah cukup memberikan mereka nasihat dan peringatan.
KESIMPULAN
Umat Melayu Islam pada masa ini mengalami situasi yang sangat malang kerana gagal memahami kefardhuan perpaduan dalam membina negara bangsa yang berdaulat. Mereka telah lupa terhadap sejarah dan keliru dengan berbagai-bagai seruan yang memperdayakan dari Timur dan Barat bagi tujuan menyesatkan mereka daripada panduan Islam yang lurus. Mereka berselisih dalam perkara yang sangat asas iaitu tentang kewajaran perpaduan itu sendiri, belum lagi soal mencari jalan ke arah perpaduan. Puncanya ialah mereka tersasar daripada laluan politik sunnah dan telah terpesong kepada politik semata-mata kerana kuasa dan harta. Mereka hilang kompas dalam pandangan politik daripada asas berpijak untuk membangunkan sebuah identiti bangsa berteraskan akidah.
Segala persoalan pokok telah dipolitikkan dan menjadi soalan-soalan yang diperselisihkan. Terungkai segala hubungan akidah (wala’), terkuburnya mafhum ummah, penafian terhadap sejarah bangsa, mengingkari tuntutan kedaulatan, menganggap perpecahan sebagai syariat dan dalam masa yang sama menelan mudah segala yang dihidangkan oleh musuh Islam yang memujuk mereka supaya menyerahkan segala yang berbaki kepada mereka atas nama kebebasan, kesamarataan dan persaudaraan manusiawi.
Hubungan hati sesama Islam telah pecah remuk sehinggakan orang kafir lebih dipercayai dan lebih senang digauli serta bekerjasama berbanding orang Melayu sendiri.
Oleh itu untuk menjayakan gagasan perpaduan umat Melayu Islam:
- Orang Melayu Islam perlu terlebih dahulu menyakini akan keperluan serta kefardhuan perpaduan dalam menghadapi lingkaran ancaman yang berbagai-bagai.
- Isu perpaduan Melayu hendaklah mampu difahami dan dibahas di luar dari kerangka perbalahan politik. Soal survival Islam dan Melayu itu sendiri harus dapat dihayati dan fahami oleh orang Melayu Islam sendiri.
- Perlu wujud mediasi antara golongan yang diterima oleh kedua-dua belah pihak untuk mencari jalan memperbaiki hubungan hati dan kepercayaan antara pihak- pihak yang bersengketa dan mengeluarkan mereka daripada sentimen politik kepartian yang sempit.
Jika perkara tersebut dapat diusahakan maka saya percaya gagasan perpaduan boleh berjaya. Tetapi jika perkara tersebut sukar diterima dan direalisasikan, maka perpecahan akan terus berlaku dan tidak mustahil masa depan anak cucu kita akan berakhir dengan malapetaka yang ngeri…wal iyazubillah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan