Tidak faham ini timbul kerana apabila harga petrol dan diesel diumumkan naik kebiasaannya tepat pada pukul 12 malam, pada esoknya, tidak sampai pun dalam tempoh 24 jam, ada saja barangan yang naik. Selepas tempoh itu jangan ceritalah. Bagaikan ada pesta naik harga!

Begitu cepat sekali segelintir peniaga ini bertindak, walhal yang harga barangan yang dinaikkan itu adalah daripada stok-stok lama yang terperap dalam stor, yang tidak langsung membabitkan harga baharu petrol dan diesel yang diumumkan naik itu. 

Tetapi, reaksi peniaga amat berbeza sekali atau lebih tepat lagi tiada sebarang reaksi, apabila harga bahan api itu diturunkan. Sudah masuk dua kali harga petrol dan diesel turun iaitu pada awal Disember 2014 dan 1 Januari lalu dan sehingga kini satu barang pun tidak turun harga. Malah ada yang terus meningkat. 



Alasan peniaga ialah pengedar, pemborong dan pengeluar tidak turunkan harga. Jadi macam mana mereka mahu ikut turun harga? Bila setiap harga barangan dinaikkan, peniaga akan cepat-cepat memberi alasan, faktor kos pe­ngangkutan meningkat. Petrol dan diesel naik, terpaksalah naikkan harga. Tidak sebut sangatpun pasal kuasa pemborong, pasaran semasa, bekalan dan cuaca. 

Dan kalau disebabkan faktor cuaca atau bencana alam pun, sepert kenaikan harga sayur-sayuran dulu, selepas semua itu berlalu, harga akan stabil semula. 

Pun begitu, keadaan ini tidak pula berlaku bila harga petrol dan diesel turun. Peniaga cerita pula pasal rantaian pengeluar, pengedar dan pemborong yang berkuasa menetapkan harga. Bukan mereka. Kepada mereka, satu sen turun pun mereka sudah mengalami kerugian besar, boleh gulung segala tikar yang ada, sedangkan ada sebilangan peniaga ini menaikkan harga barangan atau makanan berkali ganda, walaupun petrol naik 20 sen. 

Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) seharusnya mencari satu mekanisme iaitu apabila harga petrol turun sepatutnya harga produk yang ada hubung kait dengan penggunaan petrol juga turun. Dengan hanya menyeru atau menyarankan pihak peniaga menurunkan harga barang, ini sudah tentu tidak dapat membantu. Sedangkan amaran pun tidak diendahkan, inikan pula meminta dan menasihati.

Sekiranya alasan, pengedar, pemborong dan pengeluar tidak mahu menurunkan harga, duduklah berbincang de­ngan pihak-pihak ini. Tanya apa masalahnya dan cari pendekatan macam mana apabila harga petrol turun mereka juga perlu menurunkan harga. Harga petrol dan diesel juga bukan sentiasa statik, ada masa naik dan turun mengikut pasaran dunia. Oleh itu, satu mekanisme penurunan harga perlu ada apabila harga bahan api itu turun. Jangan hanya apabila harganya naik saja peniaga bertindak dan apabila harga turun mereka buat se­perti tiada apa-apa yang berlaku. 

KPDNKK perlu memberi penjelasan kepada orang ramai sekiranya harga barang-barang tidak semudah itu boleh diturunkan, agar pengguna memahaminya. Memang betul, naik turunnya harga barang-barang bukan semata-mata bergantung kepada harga petrol atau diesel. Ia hanya melibatkan peratusan kecil saja. Kenaikan harga barang turut mengambil kira faktor bekalan, permintaan, cuaca dan macam-macam. 

Tetapi kesempatan menaikkan harga barang ekoran kenaikan harga petrol sering digunakan dengan begitu baik sekali oleh peniaga, pengedar, pembekal atau pemborong. Merekalah juga yang memberikan gambaran kepada semua bahawa kenaikan harga minyak adalah ibu segala kenaikan harga barangan, tetapi bila harga minyak turun mereka diam. Sikap sebeginilah yang menaikkan kemarahan orang ramai.