Layan...
Pinggan tak retak, nasi tak dingin
Keputusan terburu-buru kerajaan negeri Sarawak melarang saya memasuki bumi kenyalang ini sudah tentu amat mengecewakan, juga merugikan. Sebelum ini, saya bebas sahaja memberikan ceramah di sana. Kebanyakannya atas jemputan masjid, majlis daerah dan wakil rakyat.
Saya adalah saya, dulu sampai sekarang. Boleh tanya kepada penduduk Sarawak yang mengikut ceramah selama ini, adakah saya menanamkan politik kebencian antara kaum, semangat ekstremis dan apa jua konotasi yang negatif? Jawapannya, saya pasti, TIADA. Kebanyakan berpuas hati dengan ceramah saya. Kita amat profesional dan menghormati budaya dan sensitiviti setempat. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.
Kita adalah pendakwah, sampaikan walau satu ayat, bukan berpolitik seperti ahli politik. Bermuka-muka. Cakap lain, buat lain. Setiap kali saya ke Sarawak (Sabah), saya banyak menekankan soal meraikan kepelbagaian dalam Islam.
Islam tidak beranak di kawasan orang Islam. Tetapi lahir dan berkembang di kawasan orang bukan Islam. Bermula dari seorang, Nabi Muhammad SAW yang membawa Islam, berkembang hebat, sehingga seluruh Tanah Arab menerima Islam, sehinggalah ke seluruh dunia hari ini.
Jika Islam menanamkan politik kebencian atau melakukan kekerasan, sudah tentu bukan Islam tidak akan memeluk Islam. Islam tidak akan berkembang. Tetapi, hakikat berlaku sebaliknya. Hikmah, kelembutan, keamanan dan contoh teladan, menjadikan bukan Islam tertarik dan seterusnya memeluk Islam. Terkini, aktor kacak barat, Liam Neeson, dikhabarkan akan memeluk Islam, meninggal agama Katholiknya. Alhamdulillah.
Hingga ke hari ini, walaupun agama Islam, hanya baharu lebih kurang 1400 tahun, penganutkan sudah mencecah 2 billion, nombor dua populasi terbesar dunia selepas Kristian (2000 tahun), begitu juga agama lain yang telah wujud lebih dari 3000 tahun.
Pendek kata, Islam adalah agama yang termuda, selepas Kristian. Apakah Islam boleh sampai ke tahap ini jika mengambil pendekatan bermusuh dan membenci? Semua ini saya faham dengan jelas.
Inilah intipati setiap kali saya berceramah di Sarawak mahupun Sabah. Juga, setiap kali saya memberikan syarahan kepada pelajar, saya selalu mengambil contoh Sabah dan Sarawak sebagai model 1Malaysia.
1Malaysia sudah lama dipraktiskan di sana, berbanding Semenanjung, yang walaupun hanya ada 3 etnik terbesar, Melayu Cina dan India, asyik bertikam lidah, tidak pernah habis, hanya kerana politik. Keharmonian Sabah Sarawak jauh lebih baik, meskipun parti politik mereka berasaskan kaum begitu banyak.
Apapun saya terima dengan hati terbuka keputusan kerajaan negeri. Saya tidak rugi apa-apa pun jika tidak ke negeri tersebut. Banyak negeri lain yang sudi menerima dan boleh kita menyumbang.
Cuma saya amat terkilan tindakan terburu-buru. Sekurang-kurang rujuklah kerajaan pusat terlebih dahulu sama ada saya ekstrem atau tidak. Namun demikian, saya akui Sabah Sarawak memiliki kuasa imigresen sepenuhnya, merujuk perkara 18 dan 20, selepas kemasukan ke dalam Malaysia 1963.
Keputusan ini adalah keputusan politik. Saya adalah mangsa. Terus terang, saya agak marahn dengan kenyataan menteri mudanya dan orang pejabat Ketua Menteri.
Jika tidak benarkan saya masuk, tidak mengapa, pinggan tak retak, nasi tak dingin, kau tak nak, aku pun tak ingin. Tetapi tidak perlu mengeluarkan kenyataan seperti mengaitkan saya dengan budaya politik ekstrem Semenanjung. Kenapa perlu babitkan Semenanjung. Ia tidak baik untuk pembangunan politik bernegara.
Kami, di Semenanjung tidak seburuk yang saudara semua sangkakan. Kami tahu membezakan antara baik dan buruk, sebab kami bukan ultra kiasu. Ya, tidak dinafikan ada yang ekstrem. Tetapi mengeluarkan kenyataan umum sedemikian, bukan ciri seorang negarawan.
Mungkin mereka terlepas pandang, saya sebagai seorang pendakwah dan pada masa sama saya juga adalah pensyarah yang mengkhusus dalam bidang sains politik dan kerajaan. Saya bercakap dan menulis mengikut bidang.
Menjadi hak saya sebagai pakar, memberikan input-input dan ulasan politik semasa, dalam sebuah negara mengamalkan demokrasi berparlimen. Sebab itu, saya tidak disukai dan menjadi mangsa sekumpulan ahli politik yang pandai mengaburi mata rakyat mengatakan mereka mewakili semua kaum dan menyeru kepada perpaduan.
Kenapa kita begitu bersikap tertutup? Kenapa kita mendengar sebelah pihak sahaja, terutama PKR dan DAP? Ceramah saya di Sematan adalah berkaitan Maulid Nabi. Jika saya menanamkan politik ekstrem, yang mula-mula akan ban saya adalah kerajaan pusat di sini. Tetapi saya masih bebas keluar masuk TV. Jadi, apa masalahnya?
Sudah sampai masanya kita perlu matang. Jika beginilah sikap dan perangai pemimpin muda Sarawak dalam berpolitik, tidak mustahil suatu masa nanti Sarawak akan terlepas kepada tangan pembangkang.
Untuk mengetahui saya esktrem atau tidak, sudilah kiranya, melayari you tube yang telah diuploadkan oleh bekas pelajar saya ketika membuat assignment Hubungan Etnik, https://www.youtube.com/watch?v=-XN3ISZvoxU.
Salam Sheikh, Saya berada di Kuching di masa itu, Saya pun turut bersedih atas apa yang sedang berlaku di Sarawak. Sesungguhnya politik kebencian kaum sedang galak di api-apikan di sana. Baca sajalah ulasan Editor Akhbar utama di Sarawak mengenai halangan Sheikh untuk masuk ke Sarawak. Editor tersebut yang jelas2 bersembunyi di sebalik topeng anti-extremist, tetapi beliau sendiri lah sebenarnya Extremist yang sepatutnya di kurung di penjara kerana hasutan yang bertebar merata-rata di dada akhbarNya. Saya percaya kalau pihak kerajaan hanya menutup sebelah mata dan membiarkan musuh yang nyata di dalam negeri sendiri berleluasa, akhirnya Negeri dan Rakyat sendiri yang bakal menanggung kerosakkan yang teruk. Wallahu a'lam.
BalasPadamBEST
BalasPadamBEST
BalasPadam