Isnin, 2 Mac 2015

Harga Rumah Di Luar Kemampuan..!


Sampai bila? SIapa yang benar benar membela?

Harga rumah masih di luar kemampuan rakyat Malaysia

Pengunjung di sebuah pameran hartanah di SACC Mall, Shah Alam masing-masing dengan wajah yang ketat meninjau model kecil rumah, yang dijual pada harga antara RM300,000 dan RM1.4 juta.
“Tak munasabah,” kata Roslan Mat Sarji, 47, sambil membelek risalah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), penganjur pameran itu.
“Saya tolong carikan rumah untuk anak saya, tapi semua yang ditawarkan di sini di luar bajet kami. Kami tak mampu membelinya.”
Isteri Roslan mengisi borang, dan sambil mengeluh kecil, menanda di kotak di sebelah ruang yang menyatakan bajet mereka di bawah RM250,000.
“Dengan harga yang begini, kita kena duduk kampung selamanya. Siapa mampu beli rumah di bandaraya zaman sekarang ini?" soalnya.
Tidak jauh dari mereka, tanpa menyedari kesusahan dialami golongan dewasa, sekumpulan kanak-kanak riang ketawa dihiburkan seorang badut yang diupah PKNS melayan mereka dan mengedarkan belon berbentuk binatang.
Sentimen pasangan suami isteri itu dikongsi kebanyakan pengunjung di pameran itu semalam, di mana ramai menghampiri jurujual mendapatkan penerangan lanjut tetapi tergamam apabila mendengar harga yang ditawarkan.
Menurut Moody’s Investors Service dalam satu laporan awal bulan ini, permintaan untuk hartanah kediaman di Malaysia dijangkakan perlahan tahun ini di tengah-tengah kadar gadai janji yang tinggi dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Tetapi walaupun permintaan hartanah terus menurun, jelas seperti dilihat dari pameran semalam rakyat Malaysia masih perlu membeli dan memiliki rumah - namun, mereka tidak mampu.
"Ramai yang datang bertanya, tetapi sebaik sahaja kami sebut harga rumah yang kami jual, wajah mereka berubah dan mereka kata mereka akan tunggu dan lihat," kata seorang jurujual PKNS yang enggan dikenali.
“Kamu boleh lihat sendiri, ramai yang berkunjung hari ini, tetapi sebenarnya, kami baru berjaya jual lima unit rumah sejak melancarkan pameran ini semalam," beliau memberitahu The Malaysian Insider.
Walaupun terdapat pangsapuri mewah, rumah semi-D dan "townhouse" dipamerkan, kebanyakan pembeli tertumpu kepada papan maklumat yang memperincikan projek perumahan mampu milik PKNS, Selangorku Idaman PKNS.
Ramai yang mengambil gambar senarai harga rumah, iaitu antara RM42,000 dan RM250,000, tetapi kecewa apabila mengetahui mereka perlu terlebih dulu memohon kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor jika ingin membelinya.
Abdul Rasid Mohd Yusof, 57, berkata anak-anaknya terpaksa bergantung kepada projek perumahan itu sekiranya ingin memiliki rumah mereka sendiri kerana pendapatan isirumah mereka kurang RM3,000 sebulan.
"Kedua-dua anak saya berkahwin tahun lepas, dan sekarang tinggal menyewa. Saya tolong mereka carikan rumah, tetapi dengan gaji mereka, mereka hanya boleh teruskan kehidupan dengan membeli rumah di bawah RM200,000 dan melakukan kerja sambilan.
"Dari tahun lepas saya tinjau rumah di Shah Alam, tetapi apabila saya tengok rumah di Puncak Alam, Setia Alam, telan air liur saya. Paling murah pun RM400,000!” kata Rasid.
Katanya, beliau tidak cerewet tentang jenis rumah yang hendak dibeli, asalkan anak-anaknya boleh berhenti "membazir duit" menyewa rumah apabila mereka boleh gunakan duit itu membayar rumah sendiri.
Bagaimanapun, Rasid tidak mahu rumah murah di pinggir bandar, kerana walaupun boleh menjimatkan wang, duit itu terpaksa digunakan pula untuk perbelanjaan perjalanan seperti minyak dan tol.
Sementara itu, ST Rajah, 60, berkata beliau dan isteri mencari rumah untuk anak perempuan mereka yang bertahun-tahun tinggal di rumah sewa.
"Saya cuma hendak pastikan dia selamat dan memiliki hartanah sendiri sebelum kami meninggal dunia. Dia ibu tunggal, kami risau. Tetapi, kami dah lama meninjau, harga rumah terlalu tinggi di sekitar Selangor, saya tak pasti mereka hendak terus menetap di sini," katanya dengan nada sedih.
"Kerajaan perlu menghalang pelabur kaya daripada menelan semua rumah mampu milik, dan beri peluang kepada kami rakyat biasa membeli rumah untuk kami tinggal."
Dalam edisi terbaharu laporan suku tahunannya, Inside Asean, Moody’s menjangkakan projek perumahan di kawasan popular seperti Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor - di mana setiap unit biasanya berharga lebih RM1 juta - akan menghadapi cabaran paling hebat mencapai sasaran jualan.
Sementara itu, timbalan ketua pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Faizan Abdul Rahman berkata, rumah berharga di bawah RM500,000 akan menjadi kemuncak pasaran perumahan tahun ini, manakala pasaran perumahan mewah yang berharga lebih RM1 juta mungkin akan berkurang, lapor akhbar theSun
Lu Fikir La Sendiri!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan