Selasa, 24 Februari 2015

Berita Panas Dari Sarawak..!


Wah..! bukan main marah lagi kawan tu yer..! layan..!

oleh Jimmy Adit

FOKUS SARAWAK: Saya menerima sebuah panggilan telefon tidak berapa mesra dari seorang rakan saya dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Sibu, mengenai satu petikan artikel yang saya tulis baru-baru ini:
"Namun untuk berlaku adil kepada Teras, tambahan pula tanpa pesaing jelas daripada SPDP, Adenan hampir pasti akan memberikan kepercayaan kepada Tan Sri William Mawan Ikom untuk menghadapi pembangkang di Pakan.
"Begitu juga, ketua UPP Datuk Seri Wong Soon Koh kelihatan kukuh di Bawang Assan, dan tiada sebarang sebab bagi Adenan untuk mengubahnya.
"Mawan di Pakan dan Soon Koh di Bawang Assan adalah contoh terbaik di mana dua parti pro-BN memiliki kelebihan berbanding “rakan seteru” mereka, iaitu SPDP dan SUPP.”
Rakan saya mengatakan yang saya sepatutnya pergi ke Sibu untuk mengetahui siapa yang lebih berpeluang untuk menang.
"Kebenarannya tidak terkandung dalam apa yang telah dilaporkan di dalam akhbar, tetapi dalam apa yang mereka tidak mahu laporkan," katanya, berkeras tentang kekurangan keadilan dalam sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris dan sebuah lagi yang berbahasa Cina.
"Kedua-dua akhbar ini telah menjadi organ bagi UPP dan memberi Wong semua publisiti yang dia perlukan, sementara tidak mempedulikan SUPP. Kebenarannya tiada dalam akhbar, tetapi ada di luar sana."
Dan kebenarannya, menurut beliau, adalah Wong tidak mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang, berbanding sesiapa sahaja yang bukan ahli parti BN.
Beliau berkata yang saya sepatutnya telah hadir semasa pelancaran SUPP cawangan Dudong baru-baru ini, untuk mengukur pendapat pengundi Sibu "tentang Wong dan UPP secara sebenar-benarnya". 
Pelancaran cawangan Dudong dikatakan telah dihadiri oleh ahli-ahli SUPP dan penyokong yang datang dari seluruh wilayah tengah Sarawak itu.
Apabila saya nyatakannya kepada seorang orang kuat Timbalan Presiden SUPP Datuk Seri Richard Riot, beliau berkata hampir semua kecaman terhadap Wong dan UPP, yang datang dari semua peringkat hierarki politik SUPP, dari bawah hingga ke atas, telah tidak dilaporkan. 
"Wong dipaparkan oleh akhbar-akhbar seperti dia adalah calon yang boleh menang. Hakikatnya di Bukit Assek, orang ramai menyokong Robert Lau Hui Yew, seorang yang jauh lebih muda, bertenaga dan tidak memiliki reputasi buruk seperti yang dimiliki Wong," jelas orang kuat Riot ini.
“Ada baiknya pengerusi Barisan Nasional negeri, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengetahui perkara sebenarnya. Beliau dikelirukan dengan teruk oleh akhbar-akhbar yang terlalu memuja Wong dan UPP. "
Seorang rakan wartawan di Kuching juga menelefon saya dua hari selepas Tahun Baru Cina, untuk menyatakan bahawa akhbar tempatan itu tidak berlaku adil kepada presiden SUPP, Senator Datuk Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata Dr Sim sebenarnya membuat sebuah kenyataan yang sangat jelas semasa rumah terbuka CNY SUPP, bahawa partinya bersetuju dengan sepenuh hati terhadap pelan Adenan untuk hanya membenarkan calon-calon yang boleh menang untuk bertanding.
"Tetapi calon ini mesti hanya datang dari dalam negeri BN, bukan dari luar. Itulah yang Dr Sim kata," wartawan itu menceritakan.
Menurut beliau, Dr Sim bercakap panjang lebar mengenai sokongan terhadap semangat bersepakat BN, yang hanya digunapakai kepada parti-parti dalam parti pemerintah itu, bukannya parti lain.
Pendirian Dr Sim selari dengan rakan sejawatnya di SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing yang membuat pendirian yang sama dua hari lebih awal semasa rumah terbuka CNY parti itu di Sibu, yang menarik 5,000 orang: "calon-calon boleh menang mestilah hanya daripada kalangan parti-parti komponen BN, bukannya daripada parti di luar gabungan itu.”
Tetapi apa yang sedang berlaku di Sarawak adalah parti pembangkang, Teras dan UPP bercakap seperti mereka berada lebih tinggi dari BN, dan parti-parti komponen BN tunduk kepada mereka.
"Dr Sim tidak gemarkan keadaan semasa, yang seolah-olah membenarkan terlalu banyak ruang bagi dua parti pembangkang untuk menentukan hala tuju BN negeri. 
"Dari apa yang telah berlaku, Dr Sim merasakan yang apa yang berlaku di Sarawak, apa yang Teras dan UPP perlu lakukan untuk diterima masuk ke dalam BN hanyalah mengisytiharkan sokongan dan kesetiaan mereka kepada Ketua Menteri. Bukankah ini satu penghinaan terhadap prinsip dan semangat konsensus BN?
"Dia menunjukkan mengenai kes Kimma (Kongres India Muslim Malaysia), sekutu BN selama lebih daripada 20 tahun tetapi tidak dapat menyertainya kerana bantahan MIC.
“MIC turut membantah kemasukan IPF yang majoritinya kaum India, dan pernah mengancam untuk "meninggalkan" BN jika parti utamanya (Umno) membenarkan parti kaum India lain untuk menyertai BN sebagai ahli secara langsung."
Saya melakukan carian mengenai hal IPF ini dan menjumpai kenyataan bertarikh Julai 2011 ini, yang diberikan oleh presiden MIC G Palanivel:
"Kami akan membantah kemasukan mereka (parti kaum India yang lain) menyertai BN sebagai ahli secara langsung. Kami akan meninggalkannya (BN) ... mereka boleh menjadi ahli bersekutu, tetapi bukannya ahli secara langsung.
“Umno tidak membenarkan mana-mana parti Melayu yang lain untuk menyertai BN, MCA juga tidak membenarkan parti majoriti Cina. Gerakan adalah sebuah parti berbilang kaum. Jika Umno membenarkan parti-parti majoriti Melayu lain untuk menyertai BN sebagai ahli secara langsung, kami tidak keberatan."
Sebelum panggilan dari rakan wartawan saya, saya baru sahaja selesai membaca cerita tajuk halaman depan Utusan Borneo Wong, yang menyatakan bahawa SUPP dan UPP "harus bekerjasama kerana mereka berada di bawah BN”.
“Kami ingin bekerjasama dengan SUPP kerana kami semua berada di bawah BN, dan kami perlu bekerjasama antara satu sama lain," kata Wong kepada pemberita semasa majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina UPP di Kuching.
"Ini adalah sampah semata-mata. Satu pembohongan terang-terangan. UPP masih merupakan sebuah parti pembangkang. BN tidak pernah memperakui mereka. Ketua Menteri tidak boleh memasukkan mereka sewenang-wenangnya. Beliau terlalu bijak berpolitik untuk mahu memasukkan UPP ke dalam BN tanpa menghormati keputusan sebulat suara," kata orang kuat Riot ini.
Mesejnya jelas, jika Umno mesti mematuhi komitmennya kepada ahli-ahli keluarga besar BN, PBB sebagai parti tulang belakang BN negeri tidak harus bersikap berbeza.
Satu sahaja bantahan terhadap kemasukan Teras dan UPP sudah cukup untuk menolak Wong, Mawan dan lain-lain lagi.
Adenan tidak seharusnya mengubah peraturan. Dan peraturannya menyatakan yang BN harus beroperasi menerusi semangat konsensus. Jika peraturan ini dilenturkan, walaupun sedikit – dalam hal ini demi UPP dan Teras – ia akan mencetuskan duluan yang berbahaya.
Jadi mesej SPDP dan SUPP kepada pengerusi BN Sarawak adalah jelas: iya, calon boleh menang! Tetapi hanya calon dari BN, bukannya dari luar!

Lu Fikir La Sendiri!!!

2 ulasan:

  1. Mesej Panas Untuk Sarawak.

    Sarawak dah jauh ketinggalan hatta dibandingkan jirannya Johor.

    Hasil bumi melimpah ruah semenjak merdeka tak sampai secara adilnya kpd rakyat Sarawak macmlah juga Kelantan.

    Kelantan tu logik juga sebab pembangkang

    Sarawak?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sarawak join Malaya tahun 1963, 6 tahun sesudah merdeka. Johor dan juga semua negeri di semenanjung sememangnya di bawah pemerintahan Kesultanan Melayu sebelum diceroboh oleh Belanda, Portugis dan British serta Jepun. Manakala Sarawak pula ketika itu di bawah pemerintahan Kerajaan Brunei yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri sebelum diduduki oleh British juga. Selepas Malaya merdeka pada tahun 1957, Sabah dan Sarawak ditawarkan menyertai Malaya di mana pada masa yang sama, Sabah dituntut oleh Filipina manakala Sarawak dirisik oleh Indonesia. Setelah beberapa tahun rundingan dan penjelasan dibuat, akhirnya Sabah dan Sarawak bersetuju untuk memilih Malaya untuk membina negara bangsa yang baharu.

      Perbandingan saudara amat tak relevan (Sarawak dan Johor). Sedangkan dari segi sejarahnya pun amat berbeza (seperti di atas), apatah lagi dengan faktor2 lain seperti bentuk muka bumi, lokaliti, kepelbagaian etnik dan budaya, kebolehupayaan rakyat negeri, jurang perbezaan pendidikan dan sebagainya. Saya cadangkan saudara pergi ke Jabatan Perangkaan untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci untuk membandingkan kedua2 buah negeri tersebut dan tanya diri saudara sendiri adakah wajar perbandingan itu dibuat.

      Padam