Selasa, 11 November 2014

Apa Yang Panas Menanti Perhimpunan Agung UMNO Hujung Bulan Ini..!


UMNO kena berubah..! sebelum UMNO berubah...ahli juga perlu berubah..! Namun perubahan ahli tentu lah didorong serta mengikut contoh para pemimpin..! Soalnya apakah benar pemimpin UMNO sudah berubah..!

Baca dan fahamkan tulisan Kadir Jasin ni...

Perhimpunan Agung Umno: Hentikan Omong Kosong


A Kadir Jasin

DALAM dunia “spinning” atau mengolah maklumat menjadi propaganda, perkataan kalah tidak wujud.

Misalnya, walaupun Mohd Najib Abdul Razak gagal mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya umum (PRU) pertama beliau sebagai Perdana Menteri tahun lalu namun sampai hari ini pun beliau tidak mengaku kesilapan strateginya.

Sehinggalah giliran Mohd Najib, semua Presiden Umno dan Perdana Menteri menang besar pada PRU pertama mereka. Dengan itu mereka mendapat mandat mutakhir dan tulen yang mengesahkan kedudukan mereka sebagai ketua politik nombor satu negara.

Mohd Najib marah dan enggan terima hakikat bahawa strategi beliau silap dan para penasihat pilihan raya beliau perlu disingkirkan.

Sebaliknya beliau menyalahkan pengundi Cina kerana menyebabkan Tsunami Cina dan mencanangkan hakikat Umno menang lebih banyak kerusi dalam Dewan Rakyat berbanding PRU 2008.

Sahabat baik Mohd Najib, Barrack Obama pun lebih kurang sama. Apabila Parti Demokrat kalah dalam pilihan raya separuh penggal pada 4 Nov lalu, beliau tidak berkata partinya kalah.

Sebaliknya beliau menyifatkan keputusan yang buruk itu sebagai  “shellacking”. Dalam slanga Amerika ia bererti kekalahan teruk. Katanya rakyat menolak Parti Demokrat kerana mereka tidak puas hati dengan ekonomi.

Schultz Pengerusi Parti Demokrat
Tetapi tidak seperti Mohd Najib yang mengetuai Umno dan Barisan Nasional, Obama tidak mengetuai partinya. Dalam sistem Amerika, jawatan Presiden dan ketua parti diasingkan. Ketua Parti Demokrat sekarang adalah wanita bernama Debbie Wasseman Schultz. Dalam Dewan Perwakilan (The House) pula, Demokrat diketuai oleh seorang wanita juga bernama Nancy Pelosi.

 
Pelosi Ketua Demokrat dalam Dewan Perwakilan
Dengan keputusan itu, Parti Demokrat hilang kawalan ke atas Dewan Perwakilan tetapi mengekalkan Dewan Senat (The Senate). Kongres (Parlimen) Amerika mempunyai dua dewan – Dewan Perwakilan dan Dewan Senat.

Dan seperti mana-mana parti politik, Demokrat pun menjanjikan kajian menyeluruh mengapa ia kalah tahun ini dan 2010 serta mengapa kempen pilihan raya presiden berjaya tetapi kempen pilihan raya separuh penggal gagal.

Umno/BN Buat Kajian?

Kembali ke tanah air kita, persoalannya adakah Perdana Menteri tahu punca sebenar beliau gagal dalam PRU tahun lalu dan apakah cara memperbaiki prestasi BN pada PRU akan datang?

Yang kita tahu, prestasi Mohd Najib lebih teruk daripada (Tun) Abdullah Ahmad Badawi pada PRU 2008 dan tidak berdapat tanda-tanda sahih yang Umno dan BN telah bertambah kuat. Malah Mohd Najib sendiri baru-baru merintih malu melihatkan ketidakberdayaan Umno Selangor yang beliau sendiri ketuai.


Malah yang menjadi persoalan ialah sama ada Mohd Najib masih ingat bahawa orang Melayulah yang menyelamatkan beliau tahun lalu dan masih berterima kasih kepada mereka.

Kalau beliau masih ingat dan masih berterima kasih, beliau tentu akan menyatakan sesuatu yang penting seperti menarik balik cadangan beliau memansuhkan Akta Hasutan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 25 hingga 29 Nov nanti.

Alhamdulillah, semakin ramai pemimpin Umno yang secara terbuka menolak cadangan sebelah pihak Mohd Najib memansuhkan Akta Hasutan. Timbul persoalan, adakah pandangan Umno diketepikan apabila Mohd Najib memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat pada tahun 2011.

Apakah ia adalah hasil cadangan dan desakan golongan liberal yang mengelilingi dan menasihati Perdana Menteri? Adakah suara Umno bukan lagi suara utama yang Mohd Najib dengari selain suara pengampu dan pemuji?

Kalau Mohd Najib masih mengutamakan parti beliau, maka wajiblah beliau menggariskan kepada ahli Umno khususnya dan orang Melayu amnya pelan besar beliau bagi memperbaiki ekonomi mereka, menyempitkan jurang ekonomi antara Melayu dengan bukan Melayu dan mencari penyelesaian kepada persoalan tanah rizab yang diambil alih oleh kerajaan.

Adakah beliau tahu bahawa ada keluarga nelayan yang makan sajian utama (main meal) hanya sehari sekali dan hadiah paling istimewa mereka janjikan kepada anak-anak mereka kalau cemerlang dalam peperiksaan adalah makan di McDonald?

Tetapi kalau PAU kali ini – macam yang sebelumnya – hanya sekadar memuji, memuja, mengampu dan berlawak jenaka, kemungkinan Umno kalah dalam PRU akan datang adalah besar. Umno dan BN sudah pun ibarat telur di hujung tanduk.

PAU Bukan Untuk Tepuk Sorak Saja
Presiden Umno dan keseluruhan kepemimpinan parti itu perlu membuktikan sama ada rakyat jelata masih didahulukan dan pencapaian masih diutamakan.

Kalau itulah pendirian mereka, maka mereka wajib digariskan pelan bertindak bagi mengatasi kemelut ekonomi Melayu/Bumiputera. Antaranya:-

1. Memperkuatkan ekonomi Melayu/Bumiputera selari dengan pertumbuhan ekonomi negara yang Mohd Najib uar-uarkan sebagai kukuh.

2. Mengatasi masalah kenaikan harga barang dan perkhidmatan akibat penarikan balik berperingkat subsidi petrol.

3. Mengatasi kemungkinan kenaikan harga barang dan perkhidmatan akibat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tahun hadapan.

4. Mengatasi masalah pengangguran di kalangan graduan Melayu/Bumiputera.

5. Mengatasi masalah diskriminasi majikan bukan Melayu terhadap calon Melayu/Bumiputera.

Ekonomi Melayu tidak pernah kuat. Sebaliknya, akibat kenaikan harga barangan pengguna dan perkhidmatan serta kejatuhan harga kelapa sawit dan getah, ekonomi mereka semakin lemah.

Ekonomi Melayu/Bumiputera mustahil boleh diperkukuhkan tanpa penyertaan keseluruhan ekonomi. Kemampuan kewangan kerajaan dan agensi-agensi ekonominya (GLC dan GLIC)  tidak cukup besar untuk tujuan itu.

Petunjuk Pembangunan Bank Dunia mendapati perbelanjaan kerajaan Malaysia bagi tahun 2013 menyumbangkan hanya 13.58% sahaja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

Ertinya bagi setiap seringgit yang dijanakan oleh ekonomi Malaysia tidak sampai 14 sen disumbangkan oleh perbelanjaan kerajaan. Lagipun daripada jumlah itu bukan semua diperuntukkan kepada orang Melayu/Bumiputera. Ia adalah untuk semua rakyat Malaysia.

Tanpa penyertaan sektor swasta yang dikuasai orang Cina dan pelabur asing mustahil ekonomi Melayu/Bumiputera boleh diperkukuhkan. Ini adalah realiti kalau para pembesar dan perwakilan Umno faham ekonomi.

Semua pemilik modal, sama ada Melayu, Cina, India atau asing perlu digerakkan secara pujukan, galakan dan paksaan untuk berkongsi perniagaan dengan orang Melayu/Bumiputera serta mengambil dan melatih pekerja profesional dan teknikal Melayu/Bumiputera.

Umno wajib menggesa kerajaan supaya mengembalikan sesetengah unsur Akta Penyelarasan Perindustrian (ICA) yang telah dimansuhkan, khususnya mengenai guna tenaga.

PM wajib menyenaraikan untuk pengetahuan umum apakah kemajuan rancangan pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang beliau hebah dan hebohkan di UiTM pada 14 Sept tahun lalu. (Baca di sini)

Beliau juga wajib membuat laporan kemajuan saranan guna tenaga sektor swasta yang merangkumi jantina, kaum dan usia yang beliau umumkan 10 April lalu. (Baca di sini).

Rasanya, Mohd Najib sebagai Perdana Menteri mengatasi semua pendahulunya (successors) dalam membuat slogan, janji, ikrar dan dasar tetapi, setakat ini, mungkin antara yang terkebelakang dalam menterjemahkannya menjadi realiti.

Mohd Najib terkenal dengan slogan “I hear you” (saya dengar anda). Atau apakah ini pun omong kosong juga? Kalau beliau benar-benar mendengar keluh kesah ahli parti dan orang Melayu, beliau perlu berubah atau menghadapi risiko diubah atau parti kalah pada PRU akan datang.

Wallahuaklam.

6 ulasan:

  1. Klu kuat sgt ckp
    Hasilnya kurang..

    Teruknya Najib

    BalasPadam
  2. Ya x ya.. MLM 2014 dah nak mula

    BalasPadam
  3. PAU Nanti kita dengarlah retorik najib tak payah lah terpekik terlolong pakai mikrofon buat sakit telinga jer..

    BalasPadam
  4. Banyak sudah ketua cawangan di gam oleh ketua bahagian yang bersekongkol dengan Najib akibat keceluparan mulut yang mengkritik pimpinan Najib

    BalasPadam
  5. salam,
    tak lama lagi keluar la artikel kutuk dan memburukkan dakj ni. bukannya nak menjawab persoalan, tapi cuba alih isu. itu ajer penyokong ah jib gor mampu buat.

    BalasPadam
  6. Sediakan pop corn dan air coke sewaktu perhimpunan sedih,ketawa Dan tidor nanti ye wahai perwakilan.....

    BalasPadam